Turut sama bekerja sebagai kerani sementara di pejabat tersebut adalah seorang gadis cina yang juga baru lepas selesai peperiksaan SPM. Sejak awal lagi kami jadi kawan baik. Kawan yang amat baik. Nama dia, Tan Ju Lin. Orangnya sangat peramah dan petah berbual dalam Bahasa Malaysia.
Ju Lin (seperti yang aku selalu panggil dia) adalah orang pertama yang belanja aku kek semasa hari lahir. Aku masih ingat, kek pandan yang dibeli di sebuah kedai kek bersebelahan bangunan pejabat. Kami makan berdua kek 1/2 kilogram. Memanglah tak habis. Dia juga berikan aku sebuah mixed-tape. Sungguh menarik. Salah sebuah lagu dalam tape tersebut adalah nyanyian Ju Lin sendiri diiringi dengan irama piano yang dimainkan Ju Lin. Oh, dia memang pandai main piano. Sayangnya tape tersebut sudah lama hilang. Kalau ada pun, mungkin sudah rosak.
Ju Lin lebih awal berhenti kerja untuk menyambung pelajaran dia di Kolej TAR. Namun, sempat juga aku mengajar dia subjek Bahasa Malaysia untuk kertas Julai. Jadi beberapa kali aku pergi ke rumah dia di Cheras untuk mengajar. Emaknya amat baik dan pemurah.
Lama kemudian hubungan kami terputus. Aku kembali ke Kuala Kangsar sebelum menyambung belajar di UiTM Shah Alam. Ju Lin sibuk dengan kelasnya.
Kali terakhir kami bertemu adalah sekitar penghujung penghujung pertengahan 90an semasa Ju Lin bekerja di Prudential KL Plaza. Selepas itu tiada lagi berita dari dia.
Sehingga semalam.
Aku sengaja mencari di internet kalau-kalau terjumpa nama Ju Lin di mana-mana. Aku pernah lakukannya dulu tetapi tidak serius. Tetapi kelmarin aku agak serius dan akhirnya aku temui Facebook Ju Lin. Terus aku hantar mesej untuk memohon kepastian.
Memang sah, pemilik akaun Facebook tersebut tidak lain tidak bukan, Tan Ju Lin. Aku amat-amat gembira. Begitu juga Ju Lin. Ju Lin sudah ada dua orang cahaya mata. Sudah besar panjang pun.
Perkara pertama yang Ju Lin beritahu adalah betapa dia rindukan masa-masa kami selalu berbual dulu. Ya, aku rasa begitu juga. Kami berbual sepanjang masa mengenai apa saja. Kalau ada kesempatan waktu dan ruang, insyaAllah aku akan cuba bertemu dengan Ju Lin dan keluarganya. Pasti menarik.
Misi seterusnya, kak angkat aku, Kak Rafizah. Aku terima mesej dari seorang sahabat, beliau tahu di mana Kak Fizah berada. Jadi, tunggu.
No comments:
Post a Comment