Kamu fikir aku tidak peduli? Sedang jiran mereka sendiri tidak peduli, malah sanggup tutup pintu sempadan dan berusaha membeli Kaka daripada A.C. Milan dengan bayaran ratusan juta ringgit, siapakah aku untuk terlalu memperduli? Apa yang aku boleh buat sekadar bersimpati dan berdoa agar segera di tamatkan peperangan dan orang-orang yang teraniaya dilindungi Tuhan.
Tidak sekali aku akan doakan agar rejim Zionist dihukum, dilaknat dan diseksa. Aku tak fikir Nabi pernah ajar umatnya untuk berdendam. Lebih baik aku doakan agar mereka di tunjukkan jalan yang benar dan diberi kesedaran tentang perbuatan tidak berperi kemanusiaan mereka itu. Bukankah itu lebih baik?
Kemudian sudah semestinya kamu petik ayat-ayat al-Quran berkaitan kedegilan dan kebiadaban Yahudi dan Nasrani terhadap orang Islam sebagai alasan untuk membenarkan kita menghukum kaum-kaum tersebut dengan apa jua cara. Itulah mungkin puncanya ada umat Islam yang sanggup jadi pengebom berani mati dan menyerang orang bukan Islam.
Sudah sampai masanya umat Islam kembali menilai aspek pemikiran mereka. lebih 1400 sesudah Nabi adalah masa yang lama untuk kita terus berpegang kepada konsep dan kesuaian masa ketika itu. Kita perlu menilai balik konsep dan kesuaian mengikut masa kita sekarang. Bukan lari dari Islam dan bukan mengubah Islam, sebaliknya mengembangkan Islam agar bersesuaian dengan keadaan semasa.
Selagi kita sentiasa bertelagah dengan perkara-perkara trivial dan ribuan ulama membuat kesimpulan dan pandangan yang berbeza antara satu sama lain, maka, selagi itu Islam dan sahamnya akan terus menjunam.
Aku sebenarnya tidak mahu lagi dengar betapa hebatnya zaman kegemilangan Islam ratusan tahun dulu. Apa yang aku mahu dengar sekarang adalah zaman kegemilangan Islam sekarang. Pakar-pakar teknologi, budayawan, karyawan dan intelektual Islam sekarang yang menjadi pemangkin kepada ketamadunan manusia di dunia.
Jangan asyik ternganga meleleh air liur melihat beberapa juta orang Yahudi amat hebat dalam bidang ilmu itu ini. Tengok dan cakap saja, tidak guna. Kita ada 1 bilion lebih umat Islam, takkan nak jumpa sejuta ilmuan Islam tak boleh kot?
Dan, cukuplah dengan retorik kita hidup di dunia sebagai bekalan di akhirat. Kalau hidup kita di dunia ini tidak aman dan sering di tindas, bagaimana hendak kita menyediakan bekalan di akhirat? Fikir, apa berlaku bila umat Islam di tindas di Mekah di awal-awal dulu? Umat Islam berpindah ke Madinah dan dari situ mereka berkembang menjadi sebuah entiti yang kukuh dan stabil. Tujuan? Suka-suka? Tidak. Untuk memudahkan umat Islam. Apabila kita tidak ditindas dan diseksa, barulah senang untuk kita menyediakan bekalan ke akhirat.
Ini tidak, sedang dalam solat, di hati kita risau mana tahu tiba-tiba bom meletup di bumbung. Mana hendak timbul kusyuk?
Oh ya, aku lupa. Aku bukan pakar dalam bidang ini semua. Jadi aku tidak perlu sambung lebih panjang. Aku cuma mahu menjadi seorang yang lebih rasional dan berfikir lebih jauh sebelum bertindak. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment