12.1.09

Menulis Diri Ini

Banyak aku menulis kali ini. Biarkan. 

Aku teringat suatu perkara semasa aku mengunjungi sebuah blog tidak berapa lama dulu. Penulis blog tersebut ceritakan bagaimana dia tidak minat untuk berkasih dengan penulis blog lain (dia seorang perempuan) kerana ramai penulis blog yang ada sebenarnya emo dan syok sendiri. 

Ada juga betulnya. Selalunya penulis blog akan mempertahankan diri sendiri dan memperlihatkan mereka yang lebih baik, lebih bagus dan lebih hebat. Jarang ada penulis blog yang mahu mengaku kesilapan, kelemahan dan kekurangan mereka. Blog adalah alter-ego mereka. 

Aku fikir dulu aku juga begitu. Dulu dalam setiap penulisan, pada fikiran aku, hanya aku yang betul dan orang lain salah. Pada aku, blog ini adalah tempat bagi aku membuktikan kehebatan dan coolnya aku. Maka aku akan kritik apa saja orang buat, baik orang buat di dunia nyata atau tulisan orang lain dalam blog. Ada saja benda yang nampak salah di mata aku ini.

Rasanya sekarang aku agak kurang begitu. Walaupun masih ada, tetapi sudah kurang. Aku tidak malu hendak ceritakan keadaan aku yang rabun warna dan gemuk. Aku juga tidak malu hendak mengaku kalau aku tidak mahir dan pandai terhadap sesuatu perkara. Aku sedar dengan menulis mengenai kekurangan diri kita, aku lebih puas untuk menulis. Aku tidak perlu berpura-pura lagi. Jadi aku boleh tulis apa saja tanpa tersekat-sekat hendak mengawal kelemahan aku. 

Cuba bayangkan waktu muda aku dulu. Semua orang salah dan aku saja yang betul. Aku rasa sekarang kalau orang muda datang jumpa aku dan cakap aku salah dan dia betul, aku biarkan saja. Jiwa muda, biasalah. Aku sudah lalui dan aku faham. Tidak perlu berbalah lagi. Sebab lama nanti orang muda itu akan sedar keadaan sebenar. Hidup berdasarkan pengalaman. 

Aku cuba sebaik mungkin untuk tidak menunjukkan aku betul sentiasa setiap kali aku menulis. Kalau aku fikir aku salah, baik aku mengaku. Sekurang-kurangnya kamu yang membaca akan berkata dalam hati,

"Hah, mengaku juga salah engkau ye."

Tidak mengapa. Aku akan terus menulis sejujur mungkin. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment