19.1.09

Sesudah Dua Tahun

Pernah kamu sedang terfikirkan sesuatu, akibat daripadanya kamu terkenangkan perkara lama yang telah kamu lalui suatu masa dulu?

Siang tadi semasa ke pejabat (ya, aku ke pejabat di hujung minggu...), aku memerhatikan penunggang motosikal di hadapan. Aku perhatikan halmet dan jaket yang dipakai. Aku fikirkan bahawa semasa sebelum dia menunggang, pasti ada ritual yang dia lakukan.

Seperti juga sewaktu aku menggunakan motosikal sekitar tahun 2003 - 2004 dulu. Halmet jenama Index dengan visor yang aku akan pastikan sentiasa bersih dan tidak calar. Aku memang kurang senang kalau visor kotor dan ada kesan calar. Pasti aku akan tukar baru. Kemudian jaket. Aku tidak guna wind-breaker atau jaket kulit. Aku beli sehelai jaket cotton jenama Chargers berwarna biru. Aku ingat kalau aku pakai sekarang, aku takkan boleh zipkan sampai ke dada. Badan aku sudah besar.

Kemudian aku terkenangkan jaket tersebut. Mana perginya jaket yang seingat aku, begitu aku suka. Kemana saja aku pergi akan aku bawa jaket tersebut. Lalu aku teringat. Aku telah berikan kepada Zura sebelum dia ke Miri pada awal 2005. Katanya dia mahu jaket tersebut sebagai kenangan.

Dari situ, aku terkenangkan sewaktu aku sentiasa bersama dia kesana kemari dulu. Orang kata aku dan dia bercinta. Aku balas bagaimana hendak bercinta sedang dia sudah berpunya. Tapi kalau melihat kelibat kami, sepanjang masa bersama hingga saat-saat akhir sebelum dia berkahwin kira-kira dua tahun dulu.

Dua tahun sudah cukup rasanya untuk menyembunyikan rahsia yang bukan rahsia bagi orang lain. Ayat-ayat terakhir beberapa hari sebelum dia berkahwin sehingga kini masih menghantui aku,

"Idan cuma lambat sedikit daripada dia..."

Kalaulah aku tidak terlalu buta untuk menyedari semua itu, aku takkan bersusah payah. Beberapa bulan sebelum dia berkahwin, dia amat rapat dengan aku. Ketika itu aku masih belum tahu dia akan berkahwin malah perancangan perkahwinan dia seperti tidak akan terjadi dek kerana mereka break-up sementara ketika itu. Dan dia berkata,

"Ketika itu, saya sudah hampir-hampir terima Idan sepenuhnya."

Patutlah berbeza benar layanan dia terhadap aku ketika itu. Lebih mesra dan lebih manja.

Namun, tidak semua bahagia itu berakhir bahagia. Bagi dia, mungkin bahagianya tercipta bersama suaminya sekarang. Bahagia aku belum lagi aku temui.

Kalau kamu tanya, masihkah aku mencari? Jawapan aku, ya. Dan seterusnya aku melihat diri ini. Sepanjang dua hari ini, cukup. Jumlah orang yang aku berbual bicara = dua. Jumlah masa perbualan = 15 minit. Jantina = dua orang lelaki.

Maka, peluang aku amat-amat... tiada.

Namun, tidak perlulah aku bersedih dan kamu bersimpati. Seperti mana-mana jua keadaan yang pernah aku alami, aku telan dan simpan dalam hati dan lupakannya. Jangan risau, ianya takkan meletup. Habis teruk pun, aku akan tulis semula di sini sebagai kenangan yang kamu semua akan baca.

3 comments:

Anonymous said...

Idan, cinta tak perlu dicari, cinta akan hadir sendiri. Sabar...mgkn ALLAH sedang mempersiapkan seseorang untuk Idan sebagai isteri...akan tiba hari bahagia tu...percayalah...jgn sesekali penat untuk bersabar...;D

Anonymous said...

i think u r too choosy.

frossonice said...

Betul. Dah pernah mengaku sebelum ini. :-)

Post a Comment