4.11.09

Ada Kerja Sebenarnya!

Aku terbaca nota seorang sahabat di Facebook; esok dia akan berangkat ke Kota Kinabalu.

Pertama, aku belum pernah sampai di Sabah.
Kedua, Damn! Aku belum siapkan slide-show Bos Besar yang perlu diolah semula.

Awal pagi esok di pejabat, perkara pertama yang perlu aku selesaikan adalah mengolah semula slaid tersebut. Tidak banyak, tetapi aku janjikan kepada Bos Besar yang aku akan hasilkan design baru untuk tahun 2010.

Itulah, membodek konon.

Sebenarnya, secara tiba-tiba aku ditimbuni kerja yang banyak. Tidak sebanyak yang boleh menyebabkan aku memasang headphone sambil mendengar muzik tarian melayu asli di iTunes dan mengabaikan semua orang di sekeliling. Ya, bila aku mahu beri tumpuan sepenuhnya dengan kerja, aku akan pasang headphone di telinga, kemudian mainkan lagu seperti muzik tarian melayu asli (yang betul-betul asli tanpa vokal) atau Metallica Death Magnetic (kerana aku mahu adrenalin aku menggelegak).

Tetapi esok tidak begitu. InsyaAllah.

Esok setiba di pejabat dalam 7.45 pagi, aku akan punch card. Kemudian turun ke kafe untuk membeli sebungkus makanan dan minuman, bawa naik ke pejabat dan makan di kubikel. Lebih kurang 8.15 pagi, setelah selesai menyemak senarai kerja dan persiapan yang perlu aku buat (ya, banyak karenah), aku akan siapkan slaid persembahan, buku atur cara, buku program, buku panduan pejabat (4 buah), slaid perancangan strategik bahagian untuk tahun 2010, slaid KMK bahagian (mungkin), slaid perancangan strategik JPN untuk tahun 2010 (mungkin juga), slaid citation Hari Inovasi, buku panduan 5S (revised edition) dan menulis blog...

Hehehe.

Ya, ya... Aku tahu. Tidak logik kakitangan kerajaan buat kerja semua ini. Patutnya jam 8.30 pagi aku masih di kafe menghabis segelas teh tarik sebelum aku order segelas lagi. Patutnya jam 9.00 pagi barulah aku naik ke pejabat untuk membaca surat khabar atau majalah Mastika, URTV, Hai dan Maskulin.

Kemudian, sepatutnya jam 10.00 pagi aku baru tiba di kubikel, semak emel di PC, berbual dengan rakan kubikel di sebelah. Jam 10.30 pagi sepatutnya aku turun kembali di kafe aku berjalan jauh sedikit ke kedai mamak luar pejabat untuk minum pagi. Sepatutnya jam 11.30 barulah aku kembali ke kubikel dan sekali lagi periksa emel. 15 minit kemudian aku buka fail semalam yang sudah sebulan di meja. Aku tutup fail kerana mahu ke tandas (banyak sangat minum di kafe dan perut tiba-tiba sakit kerana mungkin roti canai di kedai mamak tadi, kuah karinya sudah basi).

Sepatutnya juga, jam 12.30 aku keluar dari pejabat untuk balik ke rumah dan tidur. Tidur dulu. Jam 2.30 petang baru tersedar dari tidur, dan dek kerana mamai selepas tidur, aku cuma bergerak kembali ke pejabat dalam jam 3.00 petang.

Tiba di pejabat setengah jam kemudian, aku terasa lapar. Aku turun ke kafe untuk membeli nasi campur dengan lauk paling banyak kolestrol dan lemak aku pernah jumpa. Lebih kurang 4.15 aku selesai makan. Naik kembali di pejabat dan lihat kebanyakkan rakan pejabat sudah bersiap-siap untuk balik kerja, jam 5.00 petang nanti. Aku mencelah masuk dalam perbualan sekumpulan daripada rakan pejabat. 4.55 petang, aku sepatutnya tunggu berbaris di hadapan mesin punch card.

Jam 5.00 petang, aku balik rumah. Aku sepatutnya ulangi perkara yang sama setiap hari sehingga aku disah doktor bahawa aku mengidapi segala jenis penyakit berbahaya.

Ramai kamu yang berpersepsi begitu terhadap kakitangan awam ini, bukan? Ada betul. Tetapi biasanya kamu akan jadi tukang karut atau penglipur lara. Ada saja tokok tambah yang kami akan dengar.

C'est la vie.

2 comments:

bella kornikova said...

hello mr sharidan,
nice entry.
membuka mata sesiapa yang salah anggap tentang dunia work with gomen.
haha.

Ahmad Sharidan said...

Tipikal pemikiran orang Malaysia ni sebenarnya. Nampak seorang buat, mereka anggap semua buat perkara yang sama.

Kita betul-betul percaya dengan perumpamaan

"Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga"

Post a Comment