Mengenai gerai burger milik seorang India. Mungkin pasarannya agak kecil berbanding dua gerai yang lain. Pertamanya, secara automatik orang Islam akan berasa was-was untuk membeli darinya. Kalau pun cara penyediaannya halal, pastinya orang masih ragu. Aku tidak salahkan pemilik gerai dan aku juga tidak salahkan orang Islam.
Dulu, semasa kecil atau sekitar 80an dan awal 90an, masalah halal haram ini agak kurang. Malah, tidak menjadi masalah untuk kita lihat ramai umat Islam yang makan di kedai milik bukan orang Islam yang mereka tahu sejak dulu menjual makanan halal. Sekarang, hatta kedai milik orang bukan Islam yang sudah lebih 50 tahun menyediakan makanan halal pun menjadi persoalan.
Ada saja antara kita umat Islam yang akan menimbulkan pelbagai persoalan mengenainya. Kadang-kadang, jawapan paling mudah diberi; kita perlu bantu orang Islam lain. Jawapan sebegitu selalunya akan menyebabkan kita tersepit. Di satu sudut, kita mahu membantu umat Islam. Satu sudut lain, kita mahu menjimatkan kos. Realitinya, jarang sangat ada perniagaan milik orang Islam yang harganya setara atau kurang daripada harga pasaran lain. Kenapa ya?
Berbalik kepada gerai burger milik seorang India berhampiran rumah aku. Apa yang membuat dia terfikir untuk berniaga burger sedang pesaingnya nyata lebih besar peluang berbanding beliau? Kamu perlu hormat dia .Dia seorang yang berani. Berani lari daripada prasangka, berani mencari ruang walaupun kecil.
Aku fikir, ada baik dicari cara agak boleh dididik beliau dalam cara-cara penyediaan makanan mengikut kehendak Halal yang ditetapkan. Itu cara paling mudah kita dapat membantu dia dan ramai lagi orang seperti dia untuk berjaya. Kita cuba cari cara untuk meluaskan potensi pelanggan beliau.
Kenapa perlu dilakukan begitu? Satu, ini negara demokrasi. Setiap rakyatnya ada hak untuk hidup berjaya dalam negara ini. Kita sebagai manusia juga diajar untuk membantu. Juga diajar untuk bertimbang rasa. Paling penting, kita perlihatkan apa yang dianggap "Cara Hidup" dalam erti kata sebenar.
Ini langkah kecil untuk menghapuskan perkauman. Rasanya.
1 comment:
Dulu dan sekarang memang berbeza. Dulu walau ia kedai orang India, kita beli dengan yakin.
Sebabnya masyarakat dulu sangat jujur dan saling menjaga kepentingan bersama.
Pengalaman saya sendiri ketika membeli barang keperluan dapur, pemilik kedai bangsa India itu melarang saya membelinya kerana barangan itu hanya untuk orang India. Katanya orang Melayu tak boleh beli barang itu.
Sekarang kejujuran terhakis kerana desakan hidup dan wang-ringgit! Melayu pun tipu Melayu.. apa lagi yang boleh diharapkan...
Post a Comment