29.11.09

Memaksa Masa Berhenti Seketika

Lebih kurang seminggu lepas, aku berbual dengan seorang sahabat lama di Facebook. Seorang yang aku anggap "buddy". Lama aku kenal dia, lebih 10 tahun mungkin.

Kami bertanya khabar dan bertanya hal kehidupan masing-masing. Kamu tahu, kalau tidak kerana gambarnya di Facebook, aku cuma pernah melihat dia sekali saja. Itu pun buat seketika. Selama 10 tahun aku kenal dia, cuma sekali aku bertemu dengannya dan cuma sekali itu juga aku melihat wajahnya. Tetapi aku dan dia adalah "buddy".

Aku bergurau dengannya; bertanyakan sama ada malam ini kami akan berbual hingga ke pagi seperti yang biasa kami lakukan suatu masa dulu. Mana mungkin. Masa dan keadaan sudah berubah. Tetapi aku masih ingat suatu ketika dulu kami seperti enggan meninggalkan ruang ini untuk terus berbicara selamanya. Kadang-kadang diselang seli diam yang lama. Kerana kehabisan idea, mungkin.

Kalaulah hidup ini boleh menjadi semudah ketika waktu itu. Sering aku terasa seperti aku sedang terpaku di tempat yang sama, sedang orang lain terus berlalu pergi. Jauh di sudut hati, sentiasa aku membisikkan agar masa tidak terus berlalu, keadaan tidak terus berubah. Agar segala yang berlaku terus berlaku berulang-ulang kali kerana aku belum puas menikmatinya. 

Aku tidak mahu diundurkan kembali masa. Aku cuma mahu ianya terhenti di satu titik dan biarkan aku nikmati saat-saat itu. :-)

1 comment:

halimatun sadiah said...

kiter hnya ade perkataan "kalau".kalau itu memungkinkan segalanya yang indah perlu diiringi dgn usaha dan takdir Allah.

Post a Comment