Sebenarnya kalau aku betul-betul mahu untung dari blog ini, aku akan kaji setiap perkataan (keywords) yang menyebabkan orang tersesat ke sini dan gunakannya untuk mempromosi produk. Boleh juga dapat duit. Cuma, aku tidak fikir aku mahu menggunakan frossonice.com sebagai blog mendatangkan keuntungan walaupun aku letak iklan Nuffnang pada blog ini. Biarkan. Kalau ada orang terdetik mahu klik, silalah. Adalah aku dapat untung beberapa sen.
Aku ada beberapa blog lain yang aku cuba wujudkan khusus untuk mendatangkan keuntungan atau mendapat hasil daripada iklan yang terpapar. Aku tidak menggunakan teknik dari ebook sesiapa pun. Aku mencuba sendiri. Ada sekali sekala aku baca tulisan-tulisan mengenai bagaimana untuk menghasilkan blog yang boleh mendatangkan keuntungan. Tetapi tidak pula aku ikut kerana hampir semua yang ditulis memerlukan aku membeli ebook (yang sebenarnya mendatangkan keuntungan kepada mereka). Kalau sudah namanya ebook, kenapa perlu aku beli lagi? Cari sajalah dalam internet.
Sebentar tadi, aku aktifkan balik akaun eBay dan PayPal aku. Aku memang sudah lama wujudkan akaun tersebut dengan niat untuk berniaga di eBay tidak lama dulu. Tapi usaha terbantut kerana kekurangan modal. Rupanya ada cara yang lebih mudah. Aku sedang usahakan. Apa yang perlu aku dapatkan sekarang adalah nombor kad kredit/debit untuk memudahkan urusan jual beli nanti.
Produk apa yang aku akan jual? Aku sebenarnya dulu ingin menjual produk-produk kraftangan Malaysia terutamanya dari Kuala Kangsar seperti labu sayong, batik tekat dan keris/parang. Barang-barang sebegini agak esotik di luar negara dan boleh menghasilkan pendapatan yang banyak kalau bijak mempromosinya. Cuma, seperti yang aku cakap tadi, perlukan modal. Ada teknik menjual produk yang tidak perlu banyak modal dan inilah yang aku mahu cuba.
Apa bezanya promosi ebook dan jual barang di eBay? Promosi pelan perniagaan rahsia yang terbongkar, dibongkar atau didedahkan melalui ebook yang agak panas di internet sekarang adalah tidak lebih daripada menjual ebook itu sendiri. Kalau kamu pandai menulis dan ada idea untuk memberitahu sesuatu produk, ebook adalah cara yang paling mudah untuk kamu hasilkan keuntungan. Kamu tulis dan hasilkan dalam bentuk ebook. Kemudian kamu buat marketing kononnya produk kamu ini telah membongkar dan mendedahkan rahsia yang selama ini tidak diketahui orang. Letakkan promosi potongan harga beberapa kali lebih murah dari harga asal dan diugut pula orang bahawa harga ini hanya kekal untuk beberapa ketika. Kemudian lagi, letakkan juga jumlah ebook yang tinggal dalam stok kamu seperti mendesak orang dapatkan segera sebelum kehabisan. Hairanlah juga, ebook tu cuma sebuah fail elektronik dalam komputer. Apa hal boleh habis? Copy paste sajalah. Lainlah kalau ebook itu di cetak dan di pos kepada kamu. Tapi itu bukan lagi nama eBook. Itu adalah BUKU. ebook ini tidak lebih daripada, lebih ramai orang membeli, lebih untung kamu. Kemudian kamu tunjukkanlah akaun bank kamu yang masuk duit setiap masa untuk membuktikan produk kamu menguntungkan. Padahal duit yang masuk itu adalah duit orang beli ebook. Bukan duit hasil produk yang kamu tulis dalam ebook. Bijak juga orang sekarang ni.
eBay pula, kamu menjual produk. Ada produk, ada permintaan, ada urusan jual beli maka adalah keuntungan. Kamu buka produk kamu untuk bidaan orang. Lebih tinggi bidaan, lebih menguntungkan. Itu kalau produk kamu tawar itu sesuai untuk di bida. Macam kereta kancil kamu, contohnya. Jadi eBay lebih jujur? Tidak juga. Cuma kita kena anggap begini, pembeli mahu beli apa saja yang dia mahu beli. Kalau ada yang sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk membelinya, takkan kita mahu halang? Itu hak mereka. Kita jual sajalah.
Cuma, kenal dengan perangai aku ni, agak susah sikit hendak kekal lama melakukan sesuatu. Aku terlalu asyik melakukan perkara lain nanti. Itulah masalahnya. Padahal, setiap hari lebih 5 jam aku di depan komputer dan internet. Kalaulah sejam aku di internet boleh menghasilkan RM10, sebulan aku boleh dapat tidak kurang RM1000. Kalau sajalah kan...
Kamu kamu yang mengambil berat mengenai masalah jari aku, terima kasih. Aku amat menghargainya. Agak menyenangkan, hari ini atau lebih tepat, sejak beberapa jam tadi, jari manis tangan kiri aku sudah semakin pulih. Aku tidak ada masalah lagi untuk membengkokkan jari tersebut. Tidak langsung lagi rasa sakit aku pedih. Perlu aku katakan, aku tidak makan apa-apa ubat pun lagi. Aku cuma minun air teh misai kucing yang aku beli siang tadi kerana katanya ia boleh membantu mengurangkan Gout, darah tinggi dan sakit-sakit lain. Malah boleh membantu mengurangkan berat badan. Jadi, aku cuba.
Aku ceritakan kepada Bayah (sahabat online/pernah bertemu sekali) mengenainya dan ceritakan bagaimana sistem badan aku yang agak menghairankan, dapat memulihkan kesakitan aku dalam jangkamasa yang tertentu. Syukur aku ucapkan. Sedikit terasa seperti Wolverine dari cerita X-Men, cuma masa untuk pulih agak lambat. Hehe.
Terima kasih sahabat-sahabat yang mengambil berat. Aku amat menghargai kamu.
1 comment:
Ingat lagi ek penah jumpa sekali - kat puduraya. tahun 2001/2002? hehe.
Post a Comment