25.7.09

Munghurai Sepi Malam Sebegini

Sepatutnya aku balik kampung siang tadi, selepas waktu pejabat. Namun kerana badan terasa amat letih dan kurang selesa, aku tertidur di rumah sehingga lewat malam. Malam bukanlah waktu sesuai untuk aku balik walaupun aku suka memandu waktu malam. Mungkin aku akan balik esok. Itu pun kalau badan terasa sihat.

Malam buta, aku memandu mencari makanan. Restoran makanan Thai dan Seafood memang banyak di kawasan ini. Aku sudah muak. Aku mahu spageti atau sekurang-kurangnya bukan makanan Thai. Memandu hingga Serdang, berhampiran UPM, aku berhenti makan di situ. Aku fikir, bukan kerana aku suka spageti dan bencikan makanan Thai. Ianya lebih bersifat keinginan. Desire. Maka aku makan spageti bebola daging dengan kuah spageti yang terasa begitu masam dek perencah tiruan yang digunakan.

Dan sekarang jam sudah 3.30 pagi. Aku masih belum tidur.

Aku mahu bercuti, ke pulau atau mana-mana saja yang boleh aku pergi, untuk aku berehat. Kerana aku sudah terlalu letih dan terlalu bosan. Aku mahu pergi India, seperti seorang sahabat cadangkan kerana dia akan ke sana penghujung Ogos nanti. Kalaulah boleh. Aku juga mahu ke Pangkor, seperti aku sendiri rancang sejak beberapa bulan lalu. Aku mahu pergi seorang diri. Bukan lari dari sesiapa, tetapi kerana aku sudah biasa begitu.

Atau, aku mahu duduk di satu sudut dalam sebuah kedai buku dan membaca sehingga mata terpejam lena. Ini mungkin perkara paling mudah untuk dilakukan. Namun, ianya juga paling leceh dan memenatkan. Aku perlu memandu ke dalam sesak jalanraya untuk tiba di kedai buku.

Akhirnya aku mahu bersama seseorang. Berdua di dalam kereta dan memandu ke arah destinasi yang baru, tanpa arah tujuan sebenar. Kami berdua hanya perlu diam dan memerhati sekeliling. Tidak perlu berkata apa-apa kecuali ketika perlu. Turunkan cermin sisi kereta dan biarkan angin bertiup. Kalau temui pantai, kami berhenti dan duduk di tepian pantai. Atau memerhati dia bermain di gigi air. Atau cuma duduk. Ya, tanpa berbual.

Tiga tahun dan enam bulan semua itu berlalu.

Aku sudah semakin lupa saat-saat sebegitu. Aku lupa wajah dan senyumannya. Aku juga lupa suaranya. Aku lupa susuk tubuhnya dan lenggoknya. Walau tidak dipaksa, aku sudah semakin lupa. Mungkin, kerana aku sendiri mendesak untuk melupakannya. Atau mungkin, semua itu hanya mimpi. Kerana aku tahu, aku sering lupa pada mimpi-mimpi yang pernah aku lalui walau seindah mana ianya berlaku.

Kenapa langit, awan dan senja itu menjadi saat tenang aku? Kerana saat itu, dalam keadaan tidak dipaksa, dia sering hadir menghiasi bayangan imaginasi.

Aku sentiasa harapkan hidupnya dalam keadaan damai dan bahagia. Harapnya begitu.

No comments:

Post a Comment