Aku pergi ke Kelantan atas tiket urus setia majlis persaraan, sebagai jurufoto. Walaupun ada program lain iaitu sukan dalaman, namun aku tidak bertanggungjawab untuk membuat liputan. Walau bagaimanapun, atas dasar tanggungjawab, aku gigihkan juga untuk merakam program sukan tersebut.
Aku rakam peristiwa yang aku mahu rakam saja. Aku tidak peduli arahan atau permintaan orang lain terutama urus setia sukan yang mahu aku mengambil gambar itu dan ini. Aku mahu mereka belajar sesuatu; jangan abaikan publisiti seperti jurufoto dan juruvideo. Jangan fikir kamu boleh dakwa bahawa bila aku bertugas sebagai jurufoto majlis lain, aku juga bertugas sebagai jurufoto program sukan.
Lagipun, apa aku dapat? Tidak ada apa-apa. Bila aku persoalkan perkara itu, banyak yang kamu jawab. Tapi aku tahu dalam hati kamu juga berkata bahawa Idan ini tamak dan mengada-ngada. Tidak mengapa.
Mungkin kamu tidak tahu, tugas jurufoto bukanlah mudah seperti memetik picu kamera. Otak jadi penat memikirkan shot yang bagus, badan jadi penat ke sana ke mari mencari lokasi dan adegan untuk dirakam.
Jadi bila kamu cuit aku minta aku merakam gambar kamu sekumpulan, aku abaikan. Aku bukan bertugas untuk kamu. Aku datang kerana rasa tanggungjawab. Itu saja. Atas sebab itu juga, aku tidak masukkan gambar-gambar sukan di sini. Aku amat berkecil hati.
Dikir Barat
Aku sentiasa tertarik dengan dikir barat. Sama seperti aku tertarik dengan boria. Malang sekali, amat sukar untuk kita temui persembahan boria sekarang. Dikir Barat masih terus bertahan malah masih terus diminat.
Bagi aku, dikir barat adalah epitome semangat kerjasama dan perpaduan. Ia juga memperlihatkan kenapa orang Kelantan begitu bersatu padu dalam menghadapi apa-apa situasi. Kamu mencemuh orang Kelantan di Kuala Lumpur yang berpuak. Tapi kita cuma perlu lihat melalui dikir barat kenapa perkara itu berlaku. Ianya adalah norma bagi mereka. Apa saja yang mereka lakukan, mereka lakukan bersama. Malah kalau hendak difikirkan, permainan gasing dan wau juga memperlihatkan semangat perpaduan dan bekerjasama antara mereka.
Kalau orang tanya aku ada atau tidak satu "tool" mudah untuk menerbitkan semangat kerjasama sepasukan antara individu di sekolah institusi pendidikan, cuba berdikir barat. Adakan pertandingan dan wujudkan persaingan.
Kamu lihat memek muka ahli dikir barat semasa melakukan persembahan, mereka sungguh berbangga dengan apa yang mereka lakukan.
Alangkah baiknya kalau dikir barat dijadikan medium mewujudkan semangat sepasukan.
No comments:
Post a Comment