Dalam masa setengah tahun, tiga kali aku berkunjung ke Kota Bharu. Untuk tempoh hampir 14 tahun, itu adalah jumlah yang banyak. Dua kali sebelum ini, walau aku berkunjung ke Pasar Besar Siti Khadijah, aku tidak pernah merakam suasananya. Kalau ada dirakam pun, cuma menggunakan kamera telefon bimbit.
Apabila gerombolan rakan pejabat singgah di situ, aku berjalan ke arah lain untuk mencari sudut yang lebih selesa. Aku berdiri memerhatikan sekeliling. Hampir semua (boleh dikatakan semua) penjual adalah wanita. Maka tidak hairan kenapa pasar ini ditukar nama kepada Pasar Besar Siti Khadijah (nama asal adalah Pasar Besar Buluh Kubu). Ianya sebagai penghormatan untuk kaum wanita yang berniaga di situ.
Apa yang menarik semalam, aku perhatikan lebih ramai pembeli terdiri daripada orang lelaki. Kenapa ya?
Kemudian aku melihat rakan-rakan cuba tawar menawar dengan peniaga, untuk mendapatkan harga termurah. Ada yang berjaya (kalau pandai berloghat Kelantan), ada yang cuma dapat sedikit diskaun. Namun, mereka tidak peduli. Rasanya kepuasan dapat membeli sesuatu di Pasar Siti Khadijah sudah cukup mengatasi harga yang perlu dibayar. Kerana mungkin bila balik nanti, boleh diberitahu kepada rakan dan keluarga bahawa mereka membeli barang itu dan ini di pasar paling popular di Malaysia. Itu pasti.
Kamu tahu, aku sudah rasa aku seperti menulis artikel dalam majalah pelancongan. :P
No comments:
Post a Comment