Tetapi dalam apa jua keadaan, parti politik dan ahli politik sendiri tidak pernah peduli suara rakyat. Suara rakyat ini akan diambil berat, disogok dan dipujuk ketika pilihanraya sahaja. Selepas itu, setelah mereka terpilih, mereka akan abaikan demi kepentingan peribadi. Ya, hampir semua ahli politik begitu. Kamu jangan buta untuk tidak nampak hakikatnya. Namakan aku seorang ahli politik yang hidup miskin tanpa harta tetapi setiap hari berkhidmat untuk rakyat? Ada? Ada sesiapa ahli politik yang berani jadi Saidina Umar al-Khattab? Kalau ada pun yang kononnya 'baik', habis semua media dipanggil untuk membuktikan 'baik' mereka itu kepada rakyat.
Aku tidak pernah hormat kepada ahli politik. Mereka semua adalah "Machiavelli" yang mempergunakan rakyat untuk memperolehi kuasa untuk mereka disembah dan dihormati dan merosakkan negara ini dengan mengaut segala apa yang ada di dalamnya untuk kepentingan peribadi. Itu niat utama. Kedua, barulah untuk rakyat. Kalau rakyat diletakkan di nombor dua. Kalau tidak, mungkin jauh lebih rendah.
Seperti aku beritahu sebelum ini, rakyat memilih wakil rakyat sebagai WAKIL. Sekadar itu. Mereka, wakil rakyat bukan dilantik untuk menjadi dewa, ketua atau demang di sesuatu kawasan. Mereka hanya wakil suara kita di dalam sidang yang lebih besar.
Kamu perasan atau tidak, apabila pembesar bersuara, sering mereka berkata mereka lakukan sesuatu untuk kebaikan kita. Laksanakan itu ini untuk kebaikan kita. Kalau mereka adalah WAKIL RAKYAT, apa pula hak mereka nak tentukan apa yang perlu dibuat untuk kebaikan kita? Sepatutnya mereka minta izin, tanya pendapat dan minta sokongan sebelum mereka laksana sesuatu perkara (terutama perkara besar), kemudian barulah mereka laksanakan.
Namun apa yang berlaku, 10,000 orang rakyat di sesuatu kawasan (tidak termasuk mungkin 5,000 orang lain yang tidak menyokong semasa pilihanraya) menyerahkan 15,000 kuasa kepada seorang manusia! Kemudian manusia itu bertindak untuk tentukan nasib 15,000 orang yang diwakilinya? Apa itu demokrasi yang sebenar?
Mungkin kamu berkata, itu cara politik berfungsi. Sekarang beritahu aku; kalau ahli politik itu menang pilihanraya dengan 1,000 orang memilihnya manakala 10 orang menentang, kemudian suatu hari ahli politik ini bertindak berpaling tadah dengan mewakili 10 orang yang menentang. Apa kamu rasa? Apa 1,000 orang lain itu rasa? Mungkin kalau di zaman Greek dan Roman dulu, ahli politik ini akan diburu dan dipenggal kepala. Sekarang, ahli politik begini dipuja dan digelar pejuang.
Aku tidak setuju mana-mana wakil rakyat bertindak melompat parti setelah dipilih oleh rakyat. Mereka sepatutnya dianggap pengkhianat rakyat dan wajib dikenakan tindakan undang-undang yang amat keras. Aku setuju dengan saranan diwujudkan akta anti-lompat parti setelah dipilih sebagai wakil rakyat. Aku juga mahu cadangkan, sekiranya ada berlaku wakil rakyat yang melompat parti, kerusi mangkuk hayun ini secara automatik menjadi kosong dan perlu diadakan pilihanraya semula. Malah dia juga diharamkan sama sekali untuk berpolitik seumur hidup. Biar kena dengan sikap pengkhianat yang dimiliki. Manusia sebegini tidak wajar diberikan peluang untuk mewakili sesiapa pun.
Politik di Malaysia ini adalah politik pra-matang dan politik buli membuli. Tidak ada sistem dua parti dalam erti kata sebenar (seperti yang kita lihat di Amerika Syarikat dan Great Britain). Pembangkang (parti lawan) juga tidak nampak apa motif wujud selain untuk mencari salah parti yang membentuk kerajaan semata-mata. Aku masih ingat suatu masa dulu parti pembangkang mempersoalkan Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. Sekarang, apa cerita? Maksud aku, kalau hendak membangkang, bangkang perkara yang positif. Jangan politikkan segala itu yang ada.
Parti politik yang membentuk kerajaan sekarang pun banyak kelemahannya. Suatu paling besar dan mereka perlu akui, mereka adalah pembuli. Mereka juga bersifat terlalu tamakkan kuasa (parti tidak bersalah, orang yang di dalamnya yang bersalah). Media dijadikan saluran propaganda, bukan saluran pernyatuan rakyat. Jabatan kerajaan dijadikan alat untuk kepentingan ahli politik. Berhentilah berpolitik secara begini. Berhenti sekarang. Rakyat sekarang (yang mereka fikir patut berterima kasih) sudah semakin bijak. Berita lompat parti yang seronok disogok kepada rakyat sekarang bukan disambut dengan apa yang diharapkan. Sebaliknya rakyat jadi muak dan jijik dengannya. Malah rakyat jadi marah dan bertindak berdendam dengan si pelompat parti.
Kalau kita masih berpusing-pusing dengan strategi politik yang sama sepanjang 50 tahun negara ini merdeka, lambat laun akan bangkit golongan rakyat seperti aku yang meluat, bosan dan marah dengan keadaan sang pemain politik sekarang (tidak kira di sebelah mana kamu berpihak). Bila cukup ramai nanti, golongan rakyat ini akan bangun dan menentang kedua-dua sistem politik usang yang sudah semakin berkarat, reput dan menunggu masa untuk rebah. Kalau parti politik sedia ada tidak berubah menjadi matang, aku fikir 10 tahun daripada sekarang, mereka akan hadapi cabang politik era baru yang lebih menggerunkan.
Buka mata, bangun dan berubah untuk kepentingan rakyat. Rakyat sudah jelak dengan permainan politik kedua-dua belah pihak. Kamu sogoklah apa pun, rakyat akan tolak. Nasib baik rakyat kita bukan ekstrem seperti di sesetengah negara. Kalau tidak, sudah lama parti politik zaman penjajah ini (termasuk PKR) tumbang menjadi debu. Kami mahu politik matang dan berkhidmat semata-mata untuk rakyat!
No comments:
Post a Comment