8.3.10

Robohkan Batasan Hidup

Ada waktunya, kamu akan temui manusia yang hidupnya sentiasa berselindung di sebalik realiti sebenar. Mereka ini adalah orang yang baik, secara sifat dan nalurinya. Tetapi keadaan dan sejarah hidup mereka tidak mengizinkan mereka berlaku jujur dalam erti kata sebenar.

Kalau kamu jumpa orang seperti ini, jangan kamu lari darinya. Kamu dekati dan simpati hidupnya. Kamu bantulah sedaya mampu, walau hanya sekadar sokongan moral. Jangan kamu marah apabila apa yang kamu tahu mengenai dirinya selama ini adalah tidak benar. Selidiki dulu dan fahami keadaannya. Beri sedikit ruang untuk kamu terima bahawa di dalam dunia ini, tiada manusia yang sempurna sifatnya. Aku dan kamu juga tidak sempurna.

Mereka cuma mahu ada orang untuk menemani dan bersama mereka. Walau ianya sekadar sahabat atau kenalan, mungkin itu sudah cukup untuk mereka. Mereka bukan outcast/orang terpinggir yang kamu perlu pinggirkan lagi. Mereka adalah orang yang mahu bersama dalam ruang hidup mainstream dan kamu patut benarkan mereka laluinya bersama.

Lihat, tidak perlu menilai baik buruk orang. Bila orang bertanya juga, jawab sekadar perlu. Hati kamu tetap berkata, semua manusia di dalam dunia ini adalah baik. Keadaan saja tidak sama antara satu sama lain. Tidak perlu juga menetapkan hak orang lain hanya kerana kamu memikirkan bahawa orang lain itu tercela hidupnya selama ini. Kamu perlu tahu, mereka tidak pernah minta kamu menilai dan menetapkan hak mereka.

Aku pernah berkata, sabar itu tiada hadnya. Yang menjadi penghalang cuma diri kita sendiri.

Aku mahu ungkapkan sesuatu yang baru.

BAIK itu tiada hadnya. Yang menjadi penghalang cuma diri kita sendiri.

No comments:

Post a Comment