Kamu tahu kenapa aku tidak menulis sejak beberapa hari lalu, bukan? Post ini adalah post ke 40. Post terakhir untuk bulan ini. Boleh saja aku menulis lebih daripada 40 tetapi aku masih mahu mengekalkan jumlah 40 sejak Januari lalu.
Masuk hari ini, sudah lima hari aku tidak berbasikal. Tiga hari sebelum kerana aku pulang ke kampung. Semalam dan petang tadi, cuaca tidak mengizinkan. Semalam memang hujan lebat tetapi petang tadi agak ralat. Biasanya aku akan mula berbasikal pada jam 5.30 petang. Tapi waktu itu tadi mendung gelap menyelubungi Putrajaya dan nun di arah Cyberjaya dan lebuhraya ELITE, hujan sedang lebat turun dengan kilat dapat kelihatan dari jauh. Aku gusar hendak meneruskan program berbasikal kerana bila-bila masa saja hujan boleh turun di Putrajaya juga. Aku leka melayari internet sehingga jam 6.15 petang. Hanya hujan sekejap dan seterusnya cuaca menjadi amat baik.
Aku balik kerja sekitar jam 6.30 petang tadi dengan perasaan yang sangat hampa. Cahaya matahari yang bersinar begitu cantik. Suasana sangat selesa tetapi sudah terlalu lewat untuk mula berbasikal. 30 minit tidak cukup untuk kemana-mana. Aku balik ke rumah tanpa ada rasa langsung untuk melakukan apa-apa. Nyata aku amat kecewa. Badan jadi lemah longlai. Hasrat untuk ke The Mines mencari novel Faisal Tehrani (untuk dihadiahkan kepada sahabat) langsung aku batalkan.
Esok, kalau pada jam 6.00 petang cuaca masih elok, aku akan terus keluar berbasikal. Mungkin aku sudah sampai tahap ketagihan. Perlu berbasikal, untuk keluarkan peluh dan untuk tenangkan fikiran. Memang berbasikal menenangkan fikiran aku.
Untung juga kerana aku di Putrajaya. Suasana sekitar amat cantik dan damai. Laluan untuk berbasikal juga banyak dan kamu tidak perlu menggunakan jalanraya yang penuh kereta untuk berbasikal. Laluan siar kaki di sekitar Putrajaya memang dibuat khusus untuk orang berbasikal juga di atasnya. Aku lebih suka guna laluan berbasikal itu berbanding jalanraya biasa. Jalanraya agak rata dan lancar menyebabkan tidak ada rasa beban apabila mengayuh basikal. Laluan berbasikal pula agak tidak rasa dan kamu terasa kamu perlu berusaha lebih untuk mengayuh di atas permukaan yang tidak rata. Kamu akan cepat letih.
Pernah aku ceritakan awal aku berbasikal dulu, aku mengambil masa hampir sejam untuk berbasikal sejauh lebih kurang 12km mengelilingi Core Island di Putrajaya. Minggu lepas aku mengambil masa sejam untuk mengelilingi Core Island sebanyak dua kali. Itu satu peningkatan yang ketara sebenarnya. Aku sudah boleh mengayuh dengan kelajuan 20km/j secara konstan sepanjang laluan. Kalau dulu untuk memanjat laluan curam pun aku sudah tercungap-cungap. Sekarang aku menggunakan gear agak tinggi untuk melaksanakannya. Kesan berbasikal setiap hari dapat dirasakan dengan jelas.
Semalam di gimnasium pejabat, aku lakukan senaman perut dengan sebuah mesin khas. Biasanya aku buat 15 kiraan (set pergerakan) untuk setiap pusingan, sebanyak 3 pusingan dengan berat beban sekitar 40kg. Semalam aku buat 50 kiraan untuk setiap pusingan, sebanyak 4 pusingan dengan berat beban yang sama. 200 kiraan berbanding 45! Banyak beza. Kalau dulu 45 kiraan boleh membuat otot perut berasa sakit dan hampir crammed, sekarang 200 kiraan dan aku masih boleh terus melakukannya. Syukur. Tidak sia-sia aku berbasikal setiap hari.
Sebab itu aku rasa agak kecewa sehari dua ini. Aku tidak dapat berbasikal seperti yang aku mahu. Aku pasti norma yang sudah aku bina minggu lepas akan terjejas. Aku perlu bina balik momentun untuk kekalkan keupayaan aku. Aku sasarkan dalam masa sebulan nanti, aku boleh berkayuh secara konstan dengan kelajuan 30km/j dan aku boleh membuat 200 kiraan senaman perut dengan beban lebih 50kg. InshaAllah. Aku akan cuba lakukan. Untuk kesihatan dan untuk fitness. Kalau di Maktab dulu aku boleh berlari 10 pusingan padang (400m x 10) setiap jam 4 petang sebelum berlatih ragbi tanpa apa-apa masalah, sekarang aku harapkan perkara yang sama dapat dilakukan.
Sahabat di pejabat ada mengajak aku bermain badminton. Aku mahu sangat sertai mereka tetapi ada masalah lain sebenarnya. Punca aku berbasikal adalah kerana tumit aku sakit menyebabkan aku tidak boleh berlari dengan lancar. Berbasikal mengelakkan aku mendera tumit aku dengan hentakan. Kenapa sakit? Kerana berat badan aku. Tunggu sehingga berat badan aku tidak membebankan tumit aku, baru aku boleh fikir untuk berlari atau bermain badminton.
Ada satu lagi perkara yang aku mahu lakukan. Aku mahu berenang. Ada kolam renang di Presint 5. Jadi mungkin aku boleh berbasikal ke sana, berenang 30 minit dan sambung berbasikal balik ke pejabat. Aku mahu betul-betul cergas. Itu saja. Usia semakin meningkat ini, kesihatan badan perlu sentiasa dipantau dan dijaga. Kamu pun patut lakukan perkara yang sama. Cari apa minat kamu (bersukan) dan lakukannya. Jangan ikut orang semata-mata kerana aku tahu kamu akan cepat bosan. Buat apa yang kamu suka. Kalau kamu suka bermain roller-blade, beli roller-blade dan gunakannya untuk senaman. Aku lihat seorang dewasa melakukannya minggu lepas. Menarik.
Tidak ada apa yang menghalang diri kita melainkan diri kita sendiri. Carpe Diem!
1 comment:
Setuju sangat..mengapa nak ikut orang semata-mata kerana nak jaga hati & perasaan mereka.. hati dan perasaan kita sendiri dijadikan korban. Buat saja la apa yang kita suka.
Sebenarnya yang menghalang diri kita adalah kita sendiri. Ia dibantu oleh sikap negetif dan dihangatkan lagi oleh perasaan tak hendak dan tak mahu.. tak pek den nak nolong!
Post a Comment