Satu
Baca berita, bekas ahli parlimen PKR, Zulkifli Noordin mendesak Anwar Ibrahim letak jawatan daripada menjadi Ketua Pembangkang. Permintaan yang menarik. Tetapi kalau orang tidak malu macam dia, bolehlah keluarkan kenyataan begitu.
Sepatutnya dia yang letak jawatan daripada menjadi ahli parlimen kerana membelakangi kehendak pengundinya. Sebaiknya dia tanya dulu SEMUA orang yang mengundi dia sama ada patut atau tidak tindakan dia lakukan selama ini. Dia adalah wakil kepada rakyat. Jadi sepatutnya setiap tindakan dia perlu mendapat restu setiap orang yang mengundi dia, bukan keluarkan kenyataan sesedap rasa hanya kerana dia seorang wakil rakyat.
Kamu lihat kepincangan sistem berpolitik di Malaysia. Apabila seseorang dilantik menjadi wakil rakyat, mereka seperti diberi kuasa untuk melakukan apa saja, bukan bertindak menjadi suara rakyat. Kamu lihat saja sesiapa pun yang menjadi wakil rakyat, bagaimana tindak tanduk dan pandangan mereka. Jarang sekali ianya dilakukan untuk rakyat. Sebaliknya dilakukan untuk kepentingan peribadi dan parti politik yang diwakilinya.
Masalahnya, orang kita tidak pernah cuba untuk memahami keadaan. Kita lebih suka mengikut. Kita yang sebenarnya "king maker" akhirnya menjadi follower semata-mata.
Dua
Orang kita sukakan konspirasi. Aku sedari sekarang, Harry Potter juga dianggap konspirasi pihak tertentu untuk mempengaruhi minda umat Islam. Ya, aku fikir hanya umat Islam saja yang akan membaca Harry Potter. Umat agama lain tidak membacanya, lalu konspirasi ke atas mereka tidak perlu.
Aku perlu beritahu kamu sesuatu. Kucing gebu dan ayam serati yang kamu bela itu juga sedang berkonspirasi untuk melapah kulit kamu supaya boleh dijadikan beg sekolah.
Bangunlah. Ada banyak perkara lain yang kita boleh fikir daripada mengandai semua yang ada di sekeliling kita adalah konspirasi pihak tertentu. Jangan jadi terlalu obses. Kita umat Islam terutama di Malaysia cukup suka menjadikan sedikit fenomena natural sebagai petanda. Kononnya petanda yang diturunkan oleh Tuhan.
Aku pernah dengar sebuah komedi berbahasa Inggeris. Antaranya pak lawak ini mempersoalkan kenapa Tuhan hendak beri petunjuk di lopak air tepi jalan atau di atas sekeping roti? Tuhan Maha Kuasa katanya lagi tentu punyai bajet lebih hebat daripada Hollywood dan sudah tentu boleh beri petunjuk dalam bentuk yang lebih cool dan hebat.
Memanglah sindiran sebegini agak kurang ajar. Kamu kena fikir sesuatu, kita tidak perlu obses kerananya. Kita cuma perlu faham bahawa segala yang wujud di dunia ini adalah dengan kuasa dan kehendak Tuhan. Dan kita perlu hargainya.
Tiga
Aku sekarang sedikit terbeban dengan keadaan. Lebih jelas, aku sudah lama tidak alami di mana ada orang sekeliling yang bertanyakan itu ini mengenai hidup aku seharian dan mahu aku berkata sesuatu yang boleh menggembirakan hati mereka sedang aku rasa ianya suatu perbuatan yang tidak perlu.
Bukan aku tidak suka. Aku tidak biasa. Aku keliru kenapa ada orang yang begitu sensitif dengan setiap baris kata yang terucap di mulut atau ditulis. Ada unsur-unsur merajuk yang jelas sejak dulu, aku tidak ada jalan penyelesaian. Aku sukakan ruang dalam hidup di mana tidak perlu ada orang tahu apa yang aku mahu lakukan setiap masa. Kamu tetap boleh bacanya di sini nanti.
Aku juga tidak pandai hendak memberi jawapan ke atas setiap persoalan yang kamu berikan. Aku akan kata tidak tahu terhadap perkara yang aku tidak tahu.
Cerita ke-tiga ini bersifat umum. Tidak ditujukan kepada sesiapa pun. Aku mahu kamu semua sedar, kalau aku diam, bukan bermakna aku tidak suka. Aku cuma mahu suasana damai bersendirian sekali sekala. Bukan selalu. Aku mahu bila kamu bertanya aku ke mana aku pergi semalam, aku boleh beritahu dengan hati yang ceria. Bukan beritahu dalam keadaan aku tahu kamu sudah tahu mengenainya sejak semalam lagi.
Empat
Harapnya petang ini tidak hujan. :) Aku mahu berbasikal!
No comments:
Post a Comment