14.9.09

Buka Luas-luas

Apabila kerajaan mengumumkan untuk menaik taraf laluan LRT di Lembah Klang dengan anggaran modal sebanyak RM7 bilion, rakyat cuma inginkan satu perkara. Mereka mahu RM7 bilion yang bakal dibelanjakan itu 100% dibelanja ke arah membangunkan infrastruktur LRT yang dicadang.

Rakyat mahu ianya dilaporkan secara terbuka dan didedahkan segala aspek perbelanjaan yang berlaku. Mereka juga mahu tidak sesen pun wang yang keluar nanti masuk kembali ke poket mereka yang dianggap kroni.

Namun begitu, adakah kerajaan yang memerintah sekarang sanggup bertindak begitu? Mahukah mereka bersifat terbuka? Itu persoalannya. Rakyat tidak mahu nanti mereka dapat tahu sebuah mangkuk tandas di stesen LRT yang baru dibina berharga RM10,000, sekeping jubin berharga RM1,000 atau sebuah speaker berharga RM5,000. Itu harga yang amat tidak masuk akal. Akauntibiliti kerajaan sekarang menjadi sandaran.

Kita bukan hidup di zaman maklumat diperolehi cuma melalui surat khabar, peti televisyen dan surat layang. Kita hidup di zaman teknologi canggih di mana ilmu ada di hujung jari. Kalau sembunyi sekarang, masa depan kita akan tahu juga. 

Kalau kerajaan sekarang sanggup bertindak jujur dan terbuka, mungkin ianya boleh menjadi bonus untuk mereka dari segi sokongan politik. Namun jika sebaliknya berlaku, perkara baik yang cuba kerajaan lakukan tetap orang akan nampak buruk. Pembelian kapal selam Scorpene contohnya.

Kita lihat bagaimana tindakan kerajaan nanti.

1 comment:

Anonymous said...

Bravo!

Post a Comment