Cuaca di sebelah utara ini walaupun dalam keadaan hujan lebat terasa masih selesa dan menyegarkan. Tidak seperti di Putrajaya atau Kuala Lumpur; panasnya membahang dan hujannya melekit. Kalau di kampung Ulu Kenderong siang tadi, gegak gempita bunyi guruh dan titis-titis hujan yang turun dapat aku dengar satu per satu dengan jelas. Itu irama alam yang sempurna.
Aku berkira-kira. Kiranya hujung tahun nanti ada peluang untuk aku bercuti, aku mahu membuat road trip. Memandu ke beberapa destinasi yang sudah ada dalam perancangan aku. Tidak ke Langkawi atau pulau yang selalu menjadi tumpuan orang. Tetapi ke pekan kecil dan jalan yang suatu masa dulu pernah aku lalui. Aku mahu berhenti setiap beberapa kilometer (kiranya cuaca mengizinkan) dan merakamkan gambar suasana sekeliling.
Aku pernah beritahu kepada seseorang bahawa selepas daripada ini aku mahu melakukan fotografi yang melibatkan subjek biasa. Maksud aku perkara biasa yang tidak mungkin kita mahu rakam. Aku mahu rakam suasananya.
InsyaAllah, kalau ada masa dan keizinan, aku akan lakukan nanti. Oh ya, aku masih beraya. Heh.
No comments:
Post a Comment