Sekarang, ianya sudah besar, lebar dan jauh lebih selesa. Tetapi suasananya tetap sama. Tidak sibuk. Pondok telefon depan rumah datuk sudah kehilangan telefonnya. Mungkin ada yang terlalu nakal mencuri untuk dijadikan modal berhari raya. Tetapi rasa aku ianya sudah lama tiada.
Begitu juga dengan rumah usang di tepi pagar rumah datuk ini. Tahun lepas aku sempat mengunjungi rumah tersebut kerana masih ada orang yang mendiaminya.
(2009)
(2008)
Tahun ini aku lihat semak samuk disekeliling rumah tersebut semakin menebal. Aku terjumpa nenek yang tinggal di rumah ini. Aku tidak bertanya sama ada beliau masih tinggal di rumah ini atau tidak. Harapnya dia sudah berpindah ke rumah baru yang lebih selesa.
Jalan masuk di rumah datuk (permandangan dari rumah datuk). Rumah usang tersebut berada di sebelah kiri hujung gambar. Dulu jalan masuk ke rumah datuk cuma jalan tanah biasa. Depan tangga rumah di hadapan itu biasanya Tok Lang akan menebar getah yang sudah diproses atau menjemur getah sekerap. Sekarang sudah tiada semua itu. Penggelek getah pun aku sudah tak nampak.
Tangga itu dulu cuma diperbuat daripada kayu dan seingat aku pernah pelantarnya diperbuat daripada buluh saja. Ada seorang moyang yang semasa aku kecil sentiasa memberi aku makan sirih pinang yang sudah dilumat. Pahit tetapi sedap. Aku sentiasa asyik melihat beliau menyiapkan ramuan sirih pinang. Ada sirih, pinang, kapur dan beberapa herba lain yang aku sudah lupa namanya.
Ini gambar kereta lama pakcik yang sekarang tinggal di rumah arwah datuk. Mungkin sudah tidak berfungsi dengan baik. Dia sudah ada sebuah Perodua Kancil sebagai ganti. Tetapi ini Toyota Corolla yang suatu ketika dulu pernah aku minati.
Hasrat aku untuk mengambil lebih banyak gambar di kampung tidak kesampaian kerana hujan turun dengan lebat. Mungkin lain kali. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment