5.9.09

Melayu Islam Lebih Kurang Perangai Macam Yahudi

Catatan ke-999.

Kadang-kadang aku tidak faham manusia. Terutamanya orang yang mengaku diri mereka Islam. Paling pelik adalah orang Melayu yang mengaku diri mereka Islam dan akan melompat bingkas bangun bila Islam dicalar. Aku tidak faham Islam fahaman apa yang sebenarnya mereka bawa dalam kehidupan seharian mereka.

Isu relokasi kuil Hindu di Shah Alam adalah satu contoh kenapa aku tidak faham dengan perlakuan orang Melayu Islam ini. Mereka bangun menempelak dan marah bila ada usaha untuk menempatkan sebuah kuil Hindu di kawasan mereka. Kenapa? Kerana mereka begitu Islamik hingga apa saja perlakuan dan sifat bukan Islam tidak patut ada di sekeliling mereka?

Rumah keluarga aku di kampung terletak di belakang sebuah kuil Hindu. Laluan masuk ke rumah perlu melintasi tepi kuil tersebut dan pada waktu tertentu ianya agak sesak dengan kenderaan penganut Hindu yang diletakkan di tepi jalan masuk tersebut. Aku faham keadaan itu; mereka menjalankan tanggungjawab mereka. Sama seperti kita parking kereta kita di tengah-tengah jalan sewaktu bersembahyang Jumaat atau Hari Perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Kalau aku balik ke kampung, bila bersua dengan sami kuil tersebut, pasti aku akan memberi senyuman kepada beliau. Dia membalas. Itu penghormatan semasa manusia. Kita hormat antara satu sama lain, mudah. Sekeliling rumah aku pula, ada lebih ramai keluarga Cina daripada keluarga Melayu. Sewaktu adik berkahwin suatu ketika dulu, tuan rumah Cina membenarkan didirikan khemah dan kami gunakan laman rumahnya untuk aktiviti majlis perkahwinan tersebut. Dia membela anjing, sama seperti semua bukan Islam di kawasan rumah keluarga aku. Anjing akan menyalak, atau mengejar kita kalau anjing itu tidak mengenali kita. Kita faham. Itu toleransi antara manusia.

Kamu Melayu Islam yang lain tidak diajar begitu? Tidak diajar menghormati dan bertoleransi semasa manusia? Atau kamu rasa kamu tinggal bawah tempurung selama ini? 

Sering aku dengar dan baca kenyataan meminta orang bukan Islam menghormati dan bertoleransi dengan orang Islam di Malaysia ini. Tapi kalau difikirkan balik, apa yang kita minta itu, adakah kita melakukan perkara yang sama terhadap mereka?

Aku masih ingat cerita Umar al-Khattab enggan bersembahyang di tangga sebuah gereja di Bailtul Maqdis kerana beliau tidak mahu suatu hari kelak orang Islam menuntut tempat tersebut untuk dijadikan masjid atau tempat yang mulia bagi umat Islam kerananya. Itu toleransi dan sikap menghormati orang lain yang dilakukan oleh Umar.

Kalau kita sibuk berikan nama anak kita dengan nama paling Islamik, menghantar mereka ke sekolah agama setiap masa, mendesak mereka pakai tudung dan berbuat baik, dan kita sendiri berusaha menjadi manusia paling Islamik, apa kisah Umar ini tidak cukup untuk mengajar kita menjadi lebih bertoleransi dan menghormati?

Tidak cukup? Kerana kita amat memandang rendah Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain agama yang wujud dalam dunia ini bukan? Apabila kita memandang rendah, kita menghinanya. Apabila ianya dipandang rendah dan dihina, maka penganutnya pula secara automatik adalah hina dan tidak sama taraf dengan kita? Begitu? 

Maka kenapa Nabi Muhammad tidak abaikan saja kaum Yahudi di Madinah dalam merangka Piagam Madinah yang memberi hak sama rata untuk manusia hidup di Madinah? Atau kenapa Umar al-Khatab tidak saja desak penganut Kristian di Baitul Maqdis keluar dari gereja yang beliau singgah agar boleh ditukar menjadi masjid?

Kita Melayu Islam menjadi begitu angkuh dengan diri kita dan cuba menunjukkan kepada orang lain yang kita lebih Islamik, lebih hebat dan lebih mulia dari orang lain.

Mungkin aku tidak layak untuk bersuara kerana aku tidak berada di tempat mereka. Cuma aku ingatkan kamu kembali. Sebelah rumah aku ada kuil Hindu yang setiap petang berbunyi locengnya. Keliling rumah ada rumah Cina yang membela anjing yang sering menyalak serta ada kalanya mengejar aku (kerana aku jarang balik kampung). Keluarga aku boleh bertoleransi dan menghormati orang lain dalam keadaan begitu, Kamu yang tinggal di rumah jauh lebih besar dan jauh lebih selesa dan memiliki pendidikan yang jauh lebih baik serta pekerjaan yang jauh lebih bagus dengan akal fikiran yang jauh lebih bijak sepatutnya tidak ada masalah menghadapi sebuah kuil.

Kamu memalukan orang Islam.

9 comments:

cikguzul said...

Betul. Setuju dengan kamu, Sharidan.

Anonymous said...

Cuba baca blog Ridhuan Tee Abdullah, mungkin terselit kisah yg awk boleh faham perasaan melayu..

Ahmad Sharidan said...

Cikgu Zul - Terima kasih kerana memahami.

Tanpa Nama - Saya faham apa yang cuba dimaksudkan saudara. Kalau awak tanya Cikgu Zul di atas, sekolah saya belajar dulu adalah sekolah yang betul-betul memperjuangkan bangsa melayu sepenuhnya. Kami menangis sambil menyanyikan Anak Kecil Main Api. Tetapi itu tidak bermakna saya perlu menafikan hak bangsa dan agama lain. Saya dapati, kumpulan pelajar sekolah saya lebih terbuka sifat dan fikirannya walaupun disumbat bertubi-tubi ideologi kemelayuan.

Tidak mengapa, saya tolak Melayu ke tepi dan letakkan Islam di hadapan.

Anonymous said...

Saya tak nampak isu ini timbul kerana 'kita' pandang rendah kepada agama2 lain. Kalau kurang toleransi, itu mungkin iya. Cuma peliknya kenapa lokasi itu yang menjadi pilihan kerajaan negeri? Adakah kerana penduduknya majoriti Hindu? Atau adakah sebahagian daripada penduduknya beragama Hindu? Kenapa dan apa sebabnya? Tak salah nak buat kuil. Tapi sebaik2nya kerajaan negeri buat survey dahulu. Kenal pasti kawasan mana yang paling ramai orang India beragama Hindu. Lepas tu binalah kuil kat situ. Bukankah macam tu lagi berbaloi? Orang lain pun takde sebab untuk pertikaikan. Orang Melayu pun jangan mudah melatah. Tak elok untuk kesihatan :)

Ahmad Sharidan said...

Kalau hendak difikirkan lokasi, di mana-mana dalam dunia ini pun boleh. Begitu juga soal komposisi penduduk.

Cuma yang hendak dijelaskan di sini adalah tindakan kita yang jelas tidak berdasarkan fahaman yang kita anuti.

p/s: Kalau pijak kepala lembu itu tidak menunjukkan perbuatan menghina agama lain, aku tidak tahu apa maksudnya lagi.

aku said...

Saya setuju pendapat abg idan tu. Tapi kaum-kaum lain ada fikir camtu ker? Saya rasa 99.99% kaum india sokong hindraf. Tau jer la kan apa tuntutan hindraf ni. Asyik kita jer nak tolak ansur. Org melayu ni kalau dh mengamuk punah ranah jdnya.

Anonymous said...

percaya atau tidak ini semua permainan politik..saper yang mulakan pembinaan kuil tu dulu kalau bukan MB lama.yang kena sekang disalahkan PR.permainan politik kotor dari parti yang sememangnya telah lama kotor yang kita tidak sedari..ALLAHU AKBAR!!

Anonymous said...

kepada Tanpa Nama 9:31 AM.
PR selesaikanlah masalah ini segera.Apa guna menang PRU kalo takpandai buat keje dan selesaikan masalah negeri dan kemudian pandai pulak salahkan parti itu untuk menutup ketidakpandaian menyelesaikan sesuatu isu...huh

Ahmad Sharidan said...

Tengok bagaimana kita berfikir:

1. Salahkan orang lain selain daripada kita.
2. Tunding jari kepada orang lain.
3. Ungkit perkara lama yang sudah lepas sebagai punca kegagalan kita sekarang.
4. Tunggu orang lain berubah barulah kita turut berubah atau beritahu orang bahawa kita sudah berubah kemudian mempersoalkan kenapa orang lain tidak berubah.
5. Semuanya akibat politik.

Ya, agaknya bila kita hendak berhenti tengok benda jauh di hadapan dan tengok diri kita sendiri?

Post a Comment