12.9.09

Hujung Minggu, Lagi

Hujung minggu lagi.  Seperti Isnin hingga Jumaat berlalu dengan begitu pantas. Tiba di hujung minggu, jiwa bagai tersentak menghadapi realiti hidup. Mana pergi semua masa yang ada?

Jadi hujung minggu seperti ini biasanya aku akan habiskan masa untuk diri sendiri. Memandu ke daerah yang tidak pernah aku pergi. Mencari sudut untuk aku rakamkan dengan kamera dan juga membaca, perkara yang aku tidak dapat lakukan sepanjang lima hari sebelum. Pergi MPH atau Borders dan duduk di satu sudut sambil membaca. Abaikan orang lain dan abaikan suasana.

Mungkin kerana sudah lebih 10 tahun begini, aku jadi amat selesa dengan cara ini. Aku akan cari pelbagai alasan untuk menyendiri.

Aku selalu tulis di sini bagaimana dan apa yang aku hendak makan ketika berbuka nanti. Nampak rumit dan menyusahkan. Sebenarnya tidak. Aku tidak perlu bersusah payah menetapkan dalam diri untuk makan apa hari ini. Kelmarin ketika di The Mines, niat di hati untuk berbuka di Carl's Jr. Tiba di situ, tempat duduk sudah dipenuhi orang. Aku keluar dan terus ke Secret Recipe memesan Spageti. Aku tidak perlu tunggu atau mendesak diri untuk makan di Carl's Jr. Bukan cara aku. 

Sebab itulah ketika aku keluar dengan rakan-rakan (mereka yang mendesak aku menyertai mereka) di MidValley hujung minggu lalu, aku jadi rimas apabila mereka suruh aku carikan tempat makan. Aku pasti mereka tidak akan boleh terima cara aku. Lagipun mereka datang dengan niat untuk makan di satu kedai dan terus menunggu di sudut kedai dengan keadaan orang ramai, tanpa tempat duduk. Aku tidak akan lakukannya. Aku akan cari alternatif yang lebih mudah kerana bagi aku, ada masa lain aku boleh menikmatinya.

Kalau kamu kata hidup aku mudah, tidak juga. Aku cerewet, itu realiti. Aku berkira (kadang-kadang) dan aku rimas dengan keadaan yang merimaskan. Bukan mudah hendak mengakui kelemahan diri sendiri, tetapi tidak salah untuk mengakuinya. Sebab itu ada waktunya aku tidak mahu melakukan apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan orang lain. Sebelum aku melakukannya, aku bayangkan 1001 andaian yang akan berlaku. Akhirnya aku duduk diam dan membisu.

Bila tadi ditanya oleh seorang bos, kemana aku akan pergi hari ini, aku cakap aku tidak tahu. Tengok saja apa yang akan berlaku nanti. Betul, 1.02 tengahari di pejabat. Aku tidak fikirkan lagi apa yang aku mahu lakukan petang ini. Biarkanlah. Life is beautiful.

No comments:

Post a Comment