10.1.10

Buang Diet

Sasaran mencapai berat ideal (sekitar 70kg) masih belum tercapai. Malah masih jauh untuk dicapai. Lebih perit, aku terasa seluar semakin ketat. Kenapa begitu? Sedang aku pasti aku kurang makan, aku tidak makan nasi (seperti yang dilagendakan oleh kamu bahawa ianya boleh membantu mengurangkan berat), malah aku beli minuman khas yang khabarnya membantu membakar lemak. Okay, aku cuma baru minum setakat 5 hari, mustahil ada kesan sekelip mata.

Cuma bila aku duduk diam dan fikirkan balik, aku tidak mengubah satu perkara. Mental aku. Mental aku tidak berkata aku sedang berada dalam zon yang tidak sihat. Mental aku tidak berkata aku sedang dalam keadaan gemuk yang membuat orang lain memandang sinis dengan aku. Mental aku berkata, aku sedang berada di zon selesa dan tidak ada apa yang perlu dilakukan untuk mengubahnya. Itu silap aku mungkin. Akibatnya badan aku tidak berusaha untuk mengubah keadaan. Aku kurang bersedia untuk kurus, dari sudut psikologi.

Juga, sementara aku tidak makan itu ini, aku makan makanan yang tidak sepatutnya aku makan. Aku banyak makan makanan yang diproses (nugget, sosej dan lain-lain), dan amat kurang memakan buah, sayur dan makanan segar. Akibatnya, tenaga berkurangan tetapi berat tidak berubah. Puncanya, aku tidak masak sendiri. Aku makan di luar. Lalu aku makan di tempat yang senang bagi aku dan kamu sendiri tahu di mana.

Ini bukan cerita motivasi mengenai usaha diet. Mulai hari ini, aku akan berhenti berkata aku sedang berdiet. Aku tidak berdiet. Selepas ini, aku akan makan mengikut kehendak aku tetapi berdasarkan had pemakanan yang sepatutnya. Aku perlu yakinkan diri aku (mental) bahawa keadaan aku sekarang adalah tidak baik untuk kesihatan aku. Itu sepatutnya aku lakukan dari dulu.

Kamu tahu kenapa aku bertindak begitu? Sedang aku merujuk sumber di internet mengenai program untuk menguruskan badan, aku minum oats (3 paket sekaligus) segera kerana kononnya aku mahu mengurangkan makan pada waktu malam dan oats adalah baik untuk mengurangkan kolestrol dalam badan. Aku letak bar coklat Cadbury di tepi meja kerana aku mahu menjamahnya selepas aku selesai minum oat. Aku membaca baris-baris komen mengenai usaha diet yang orang lain lakukan. Ramai antara mereka memberitahu, persediaan mental adalah penting dalam menjayakan usaha mengurangkan berat badan. Sekiranya kita bersedia untuk melakukannya, badan kita akan 'membantu' usaha kita dengan mudah.

Mungkin aku disentak dengan realiti diri sendiri. Aku tidak bersedia dari segi mental. Bila ianya berlaku, aku lihat ke arah bar coklat Cadbury di meja. Secara automatik perasaan untuk makan coklat tersebut hilang. Tiada lagi. Aku masih lapar, itu kamu perlu tahu. Tetapi aku tidak terasa untuk menjamah apa-apa makanan kerana aku tahu, badan aku tidak perlu makanan lagi. Ianya cuma mental. Aku perlu lawan kehendak itu. Tetapi bukan bermakna aku mahu berlapar.

Esok, aku akan makan nasi. Perkara yang sudah lama aku tidak lakukan. Tetapi aku akan makan sekadar perlu. Bukan untuk memuaskan hati, tetapi untuk keperluan badan. Aku perlu fokus untuk ingatkan badan aku keperluan harian aku setakat mana.

Aku buang usaha diet aku malam ini. Esok aku mahu lakukan sesuatu yang baru.

2 comments:

Post a Comment