7.1.10

Tiga Cerita

Aku fikir untuk tahun ini, dua post sehari sudah memadai. Dua post kali 365 hari, hasilnya lebih 700 post. Amat banyak. Tolak anggaran sepertiga hari tersebut aku tidak menulis, tinggal lebih kurang 500 post. Masih banyak. Betul, dua post sehari sepatutnya sudah memadai, buat aku yang menulis dan kamu yang membaca.

Ini post yang ke tiga. Hari ini.

Mana mungkin kita menghalang jiwa kita meluahkan rasa. Amat sukar, melainkan hati kita sekeras batu dan apabila menangis, hanya air mata darah yang keluar.

Aku sepatutnya mengirim emel kepada seorang sahabat. Dia sudah berbuat demikian. Maka aku perlu membalasnya. Tetapi aku tidak tahu, apa yang perlu aku tulis. Mungkin kerana aku sudah lupa cara dan lenggok menulis surat kepada seseorang. Aku sudah terlalu lama meninggalkan perbuatan itu.

Gaya aku menulis sekarang adalah begini; bercerita kepada orang lain yang tidak aku kenali. Keintiman tulisan di sini tidak seperti menulis surat kepada seseorang. Aku tidak membuka luas ruang untuk orang lain selami kerana aku fikir ianya tidak perlu. Aku juga tidak mahu orang tahu apa yang mereka tidak perlu tahu.

Seperti aku sudah tidak menulis di sini lagi mengenai politik di pejabat. Aku tidak mahu pembaca dari kalangan orang di pejabat mempersoalkan apa-apa lagi. Aku tahu mereka ramai. Cukuplah kamu sekadar membaca tulisan dari manusia yang kamu lihat lain gayanya di luar sana.

====

Adik angkat aku, Asyikin yang sekarang bekerja di sebuah syarikat swasta, telah ditawarkan jawatan di jabatan aku bekerja. Alangkah gembira dia apabila memperolehi pekerjaan ini. Perlu aku ingatkan, aku kakitangan berpangkat rendah, maka amat musthil untuk aku jadi 'kabel' dia untuk mendapatkan jawatan itu. Aku sekadar memberi nasihat apa yang perlu dilakukan apabila ditemuduga tidak lama dulu. Dua minggu lagi, secara rasmi Asyikin akan menjadi seorang kakitangan awam.

Tapi antara soalan awal yang ditanya Asyikin kepada aku adalah, bolehkah dia bekerja sebagai penjawat awam?

Aku faham maksudnya. Setelah sekian lama bekerja di syarikat swasta, pastinya suasana dan budaya kerja berbeza. Amat berbeza. Aku dahulu pernah bekerja di sebuah syarikat broker saham, penah bekerja di kilang dan pernah bekerja di kedai komputer yang kecil. Aku tahu suasananya berbeza. Sedang syarikat swasta sentiasa berorientasikan keuntungan, agensi awam kebanyakkannya berorientasikan perkhidmatan kepada orang awam. Bukan bersifat keuntungan.

Desakan utama syarikat swasta adalah untuk memaksimakan keuntungan dan meminimakan kos. Desakan utama agensi awam pula adalah untuk memuaskan hati orang awam yang berurusan. Akibat daripada desakan yang berbeza ini, maka cara kerja dan tumpuan kerja juga tidak sama.

Tetapi memandangkan Asyikin tidak berada di barisan hadapan yang menjana pendapatan sewaktu bekerja dengan syarikat swasta, beliau aku fikir tidak mempunyai banyak masalah menyesuaikan diri dengan agensi kerajaan. Kerja-kerja belakang tabir berkaitan pengurusan pejabat adalah kerja umum yang terdapat di mana-mana agensi. Kalau beliau tahu melakukannya, tiada masalah.

Aku fikir pekerja swasta tidak akan mempunyai banyak masalah untuk menyesuaikan diri bekerja dalam agensi kerajaan. Sebaliknya, kakitangan awam akan mempunyai masalah sekiranya bertukar kerja di syarikat swasta. Itu pasti.

Tetapi bukan bermakna kakitangan awam tidak berkemampuan atau tidak berkemahiran. Orientasi kerja syarikat swasta dan agensi awam tidak sama, seperti yang aku beritahu awal tadi. Maka dia perlu mengambil masa yang lebih untuk belajar membantu syarikat mengejar keuntungan dan pendapatan. Itu lebih utama daripada perkara lain. Kamu tentu kata, syarikat lebih mementingkan kepuasan pelanggan berbanding agensi kerajaan. Itu aku setuju. Tetapi itu juga kerana faktor keuntungan. Faktor mendapatkan semaksima mungkin pendapatan melalui perkhidmatan yang terbaik.

Sebaliknya di agensi awam, tahap kepuasan pelanggan adalah pengukur tahap perkhidmatan yang diberikan. itu saja. Maka tidak timbul desakan untuk mengaut untung melaluinya.

Berbalik kepada Asyikin. Aku pasti beliau akan menjadi pekerja yang cemerlang di jabatan aku nanti. Pengalaman dan kemahiran yang ada, kalau dapat digunakan dengan baik, mampu menaikkan nama beliau di mata pegawai atasannya. InshaAllah.

====

Aku fikir aku sudah mempunyai cukup maklumat untuk mula menulis novel. Hehe.

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih untuk blog yang menarik

Post a Comment