17.1.10

Mengenai Kereta

Aku rasa kereta aku makan minyak lebih banyak daripada biasa. Mungkin enjin perlu diservis. Atau mungkin RON95 tidak bagus. Entah. Kalau sebelum ini RM30 boleh menggerakkan kereta aku hampir lima hari, sekarang, hari ketiga, meter minyak sudah hampir mencecah "E".

Seorang kawan tadi bertanya, bila aku mahu tukar kereta. Ketika itu aku sedang menjeling Mercedes-Benz E200 BlueEFFICIENCY yang dipamerkan di tengah-tengah ruang legar Alamanda Putrajay. Aku fikir E-Class terbaru agak kurang menarik jika dilihat dari dekat. Garis-garis di badannya nampak terlalu 'semak'. Masih kereta yang hebat tetapi apabila melihat Will Smith dan Tommy Lee Jones dalam Man In Black II memandu E-Class terbaru ketika itu, ianya nampak sungguh hebat dan cool. E-Class 2010 ini aku rasa terlalu 'bekerja keras' untuk menjadi sebuah kereta yang cool.

Oh, berbalik kepada tukar kereta. Aku beritahu, kena tangguh dulu. Kena dengar apa yang kerajaan akan umum mengenai penjualan harga minyak mengikut kapasiti enjin kereta. Aku memang hendak membeli Bugatti Veyron berkapasiti enjin 8 liter. Tapi kalau aku perlu bayar sejuta Ringgit untuk seliter minyak, tiada gunanya. Cuma, kalau sudah mampu miliki Bugatti Veyron yang berharga sejuta Dollar, harga minyak tidak perlu difikirkan sangat, betul?

Jadi, tangguh dulu beli kereta baru sehingga aku tahu apa keputusan kerajaan. Lagipun kereta kecil yang sudah sekian lama dengan aku, masih kuat bertahan dan mampu membawa aku pergi ke mana saja aku mahu pergi, setakat ini.

Sementara itu, kepada pembeli kereta Alado, apa yang kamu fikirkan semasa membeli kereta tersebut? Jimat duit? Value for money? Sungguh? Aku tidak mahu kata Proton itu bagus. Tapi sekurang-kurangnya mereka tidak buat kereta daripada komponen Lego.

Tapi itu pilihan kamu, bukan. Tidak kisah.

No comments:

Post a Comment