Kebelakangan ini, aku sering tinggalkan petikan kata-kata dalam bahasa Latin di dalam Facebook. Antaranya,
Carpe Noctem - Seize the night (miliki malam ini)
O diem plaeclarum! - Oh, what a beautiful day!
Semper ad meliora - Always towards better things
Ada yang pelik apabila membacanya. Ada yang bertanya. Tidak kurang juga ada yang membalas, dalam bahasa Latin juga. Sejak dulu lagi aku meminati bahasa Latin. Aku fikir ianya bahasa unik, sama seperti Sanskrit.
Cuma aku keberatan untuk belajar kerana diketahui (secara rambang) ianya bahasa kitab agama Kristian. Cetek sungguh pengetahuan aku ketika itu. Lama kemudian baru aku sedari ianya adalah bahasa Empayar Rom. Bahasa Latin lebih rapat pengaruhnya dengan Empayar Rom berbanding dengan agama Kristian. Apabila Kristian sebagai agama diterima oleh Maharaja Rom, barulah kristian disebar dengan bahasa Latin. Malah bahasa asal Kristian kalau mengikut asal usul Nabi Isa adalah Aramaic.
Lagipun ianya cuma bahasa. Kamu tidak memuja agama hanya kerana bahasa. Cuma kita di Malaysia terlebih sensitif apabila perkataan yang melibatkan agama kita digunakan oleh orang lain. Aku tidak tahu, apa yang mereka sembah, nama Tuhan atau Tuhan itu sendiri.
Berbalik kepada bahasa Latin. Aku sedang belajar sikit-sikit dan aku rasanya ianya bukanlah suatu bahasa yang susah untuk dipelajari. Cuma bahasa Latin ini bukanlah bahasa pertuturan seharian. Jadi agak kurang faedah belajar. Tapi kalau sudah minat, tidak ada masalah, bukan?
Crescat scientia vita excolatur.
No comments:
Post a Comment