Sabtu aku bertemankan sahabat-sahabat lama. Aku dan Nash berkunjung ke rumah Renny dan Faiz atas persetujuan kami untuk datang dan berbual-bual. Sekadar itu. Renny janjikan juga untuk menyediakan makanan.
Kamu perlu tahu, Renny adalah bekan teman wanita aku lebih kurang 18 tahun lalu. Sekarang dia amat bahagia dengan Faiz dan dua ekor kucingnya. Nash dan Renny juga adalah sahabat sepersekolahan di Pulau Pinang dan kami juga ditempatkan dalam keluarga pelajar yang sama sewaktu di sekolah. Begitu akrabnya kami suatu ketika dahulu.
Setiba di rumah Renny, kami dihidangkan dengan juadah yang amat menyelerakan. Aku beritahu kepada mereka betapa sudah lama aku tidak menjamah nasi, maksud aku nasi dan lauk pauk yang 'sempurna'. Hari itu aku makan dua kali, siang dan malam serta aku menambah nasi di setiap waktu sebanyak dua kali juga. Persetankan diet (kalau benar aku sudah tidak berdiet).
Kemudian kami berbual atau lebih santai sebutannya, berborak dari petang hingga jam 1 pagi. Pasti ada cerita mengenai sekolah. Pasti ada cerita mengenai sahabat sepersekolahan. Pasti ada cerita cikgu sekolah. Kami teorikan pelbagai perkara; kenapa ramai antara kami yang masih 'menyembunyikan diri' daripada menghadiri majlis reunion atau sesi teh tarik di kedai mamak atau kenapa masih ada antara kami yang belum berkahwin terutama di kalangan 'budak baik' antara kami.
Boleh saja kami berbual-bual 24 jam dengan kopi dan teh terhidang di meja. Boleh saja kami terus ketawa dan gembira dengan kacang tanah dikupas dan berkotak-kotak rokok dihisap (kecuali aku). Tetapi kita akui hakikat masa. Ada kalanya kita perlu lepaskan saat sebegitu pergi agarnya ia terus menjadi kenangan dan mungkin di kemudian hari nanti, boleh dilakukan lagi perkara yang sama.
Aku gembira melihat Renny dan Faiz. Mereka tampak begitu serasi. Begitu ideal. Kami terbuka menceritakan kisah bersama dulu. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan. Itu adalah kenangan dan kami mahu dikongsi dengan orang lain kenangan itu. Orang yang kita kenal dan mesra.
Nash seperti aku; kakitangan kerajaan. Seperti aku juga, kami hidup sekadar mampu. Jadi setiap ketika, kamu cuba mencari ruang untuk melihat keadaan hidup dalam suasana yang lebih positif serta menjadi peluang agar dapat menjadikan hidup kami lebih berjaya. Kami tidak perlu bersembunyi di sebalik topeng kejayaan orang lain demi untuk terus bersahabat. Kami ikhlas mengakui perit hidup ini. Sekurang-kurangnya Nash ada idea untuk diluahkan bagaimana dapat kami perbaiki hidup ini. Begitu juga aku.
Sahabat lama. Jiwa tetap baru.
1 comment:
I guess that's one way to say my cooking is good enough to eat :) Nanti kita lepak2 lagi ok
Post a Comment