Sementara aku bersetuju 1% dengan saranan beliau, aku lihat Facebook dan Twitter adalah medium terbaik untuk agensi kerajaan berinteraksi dengan kakitangan dan rakyat yang berurusan dengan mereka. Betul, kita boleh bangunkan sendiri jaringan sosial mengikut acuan kita dan dikawal oleh kerajaan, tetapi adakah ianya akan popular seperti Facebook dan Twitter? Tidak mungkin.
Aku membuat carian ringkas di Facebook mengenai Jabatan aku. Aku dapati ada beberapa kumpulan yang berkait dengan Jabatan aku dan salah satu kumpulan tersebut mempunyai lebih 350 orang ahli. Agak ramai. Aku juga teringat semasa di dalam sebuah mesyuarat Jabatan, Bos cuba mencari cara terbaik untuk menyebarkan arahan-arahan Jabatan. Kemudian, kadang-kadang ada di kalangan kakitangan yang sering berdebat mengenai undang-undang dan kaedah yang sewajarnya mengendalikan sesuatu kes yang berkaitan dengan urus niaga Jabatan.
Aku fikir, Facebook dapat digunakan untuk menyelesaikan masalah ini. Bukan sahaja kakitangan dan pengurusan tertinggi dapat berinteraksi dengan lebih efisien, orang ramai juga dapat menyertainya dan mengetahui lebih lanjut perkara berkaitan Jabatan aku. Mereka boleh mengemukakan soalan dan dapat didebatkan dengan terbuka di ruangan yang disediakan. Namun, perlu ada moderator dan penasihat yang mempunyai kepakaran supaya dapat memantau dan memberikan jawapan yang tepat.
Betul, ianya akan terdedahkan dengan kritikan, spam dan kutukan. Tetapi kita harus terima perkara itu. Manusia tidak semuanya tahu bersabar. Lagipun, kalau perkhidmatan yang diberikan efisien dan bermutu, tidak ada apa yang perlu ditakutkan.
Paling penting, sebaran yang pantas dapat dilakukan melalui Facebook dan Twitter mengenai Jabatan dan dapat dibaca oleh sesiapa saja, di mana saja mereka berada. Tiada lagi masalah kekangan komunikasi.
Twitter boleh dijadikan khidmat pesanan dan pemberitahuan ringkas mengenai situasi urus niaga di Jabatan. Katakan kalau sistem komputer urus niaga tergendala, ianya dapat diberitahu melalui Twitter dengan pantas dan sesiapa yang 'subscribe', akan dapat menyebarkan maklumat tersebut. Tidaklah bila tiba orang yang mahu berurus niaga di pejabat, didapati sistem komputer tergendala. Sedang dia tidak diberitahu terlebih dahulu mengenainya. Twitter adalah 'tool' terbaik setakat ini untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Aku fikir, laman web jabatan walaupun ada, masih tidak mampu mengatasi populariti Facebook dan Twitter sebagai media jaringan sosial yang efisien. Aku akan cadangkan perkara ini kepada Bos. Aku tahu apa jawapan mereka nanti. Tetapi, sekurang-kurangnya aku cuba. Kamu tahu aku cuba, bukan?
Bukan senang untuk mengubah mentaliti manusia. Tun Dr. Mahathir sudah mencubanya. Masih tidak berjaya. Tahun 2020 cuma lebih kurang 10 tahun dari sekarang. Tetapi dalam perkhidmatan awam, cuma beberapa kerat yang mahu sedar mengenainya dan mahu melakukan sesuatu untuk berubah. Selebihnya, mereka sedang 'selesa'.
Cabaran terbesar untuk mengubah mutu perkhidmatan awam adalah, mampukah kita menggerakkan mereka dari 'kerusi selesa' mereka. Mereka tidak malas. Mereka cuma 'selesa'.
No comments:
Post a Comment