23.3.10

Pilihan Kamu, KetentuanNya

Kita sentiasa diberi pilihan dengan apa yang kita mahukan. Kita sentiasa memilih sesuatu yang menyenangi hidup kita. Pilihan itu, apabila dimiliki, kita harapkan ianya sempurna untuk kita. Akan menggembirakan kita. Pilihan dalam hidup ini adalah umpama sesuatu yang paling berharga. Kerana hanya itu saja yang membezakan kita dengan orang lain; akal dan fikiran kita.

Namun apabila pilihan kita itu dikekang, malah dihalang oleh orang lain, pasti kita menjadi kecewa, marah dan bersedih. Sering ianya berlaku dalam hidup kita ini. Kadang-kadang kita abaikannya kerana sudah terlalu kerap terjadi, seperti ianya sesuatu yang normal dalam hidup kita.

Masalah yang sering berlaku, apabila orang lain menghalang kita dari membuat pilihan, mereka tidak memberi alternatif atau pilihan lain. Ramai antara kita apabila menghalang sesuatu, kita sekadar menghalang dengan alasan, kita lebih tahu atau kita berhak melakukannya. Kita abaikan kesedihan, kemarahan dan kekecewaan orang lain akibat daripada halangan kita itu kerana alasan paling kukuh kita boleh berikan adalah, ianya untuk kebaikan mereka. Untuk masa depan dan untuk menyelamatkan mereka dari apa yang bakal berlaku jika terus juga bertindak mengikut kemahuan mereka.

Kita sering mahu menjadi penentu hidup orang lain. Kita sering mahu berkata, kita adalah benar. Kita sering mahu menegaskan, ianya demi kebaikan. Namun, pernahkan kita beri pilihan lain? Pernahkah kita cuba membantu mereka membuat pilihan atau pernahkah kita cuba untuk mendengar alasan mengapa mereka membuat pilihan itu?

Keluarga sering lakukan begitu untuk anak-anak mereka. Kerana asas alasannya, ibu bapa lebih mengetahui. Atau abang dan kakak lebih mengetahui daripada adik-adiknya. Orang yang lebih tua juga sering melakukannya. Kerana mereka sudah lebih banyak "makan garam".

Kita mahu menjadi penentu arah hidup orang lain. Sense of authority.

Sedang kita sering percaya, Tuhan menentukan segalanya dalam hidup kita. Kita juga yakin Tuhan telah tentukan hidup kita bagaimana, seperti yang tertulis dalam qada' dan qadar hidup kita. Kita juga bertegas bahawa kita berpegang kepada keyakinan bahawa Tuhan menyediakan rezeki untuk kita sepanjang masa. Kita hanya perlu mencari dan mendapatkannya.

Jadi atas dasar apa lagi kita mahu menghalang pilihan yang orang lain buat?

Aku faham sekiranya kamu mahu menghalang orang melakukan pilihan yang buruk/salah yang jelas di mata manusia lain ianya adalah buruk/salah. Membunuh, mencuri, merompak, merogol dan segala perkara yang buruk. Itu jelas dan nyata.

Tetapi perkara lain? Jodoh pertemuan? Bukankah kita percaya ianya ditentukan Tuhan? Rezeki? Ya, masih Tuhan tentukan. Dan banyak perkara lain lagi yang selama ini kita letak pada Tuhan sebagai penentunya.

Maka, atas alasan apa kita mahu menghalangnya kalau dalam hidup kita selama ini 1000% kita yakin ianya ketentuan Tuhan?

Ya, aku tidak faham. Itu jawapan mudah yang boleh kamu berikan kepada aku.

Buka mata dan fikir lebih jauh. Itu saja permintaan aku. Fikir baik buruk tindakan kita terhadap orang lain. Fikir implikasi hidup orang lain yang cuba kita halang harapannya. Fikir juga diri kita, sejauh mana kita mahu bertindak seperti manusia yang mahu berkuasa ke atas orang lain sedang kita cuma makhluk Tuhan, sama saja antara satu lain. Berbeza cuma amalan dan akal fikiran.

Aku bersimpati dengan mereka yang terhalang pilihan dan harapannya. Buat kali ini, aku di belakang kamu dan yakinlah, Tuhan lebih mengetahui segala sesuatu. Hanya akal manusia yang berfikir mereka lebih bijak menentukan arah tuju orang lain kerana terdapat dalam diri kita ego dan desakan untuk dilihat lebih baik dari orang lain. Bisikan Syaitan yang sentiasa cuba memporak-peranda manusia, tidak kira dalam apa jua situasi.

Yakinlah juga, bahawa apabila pilihan sudah kita buat, berpegang dengan pilihan itu. Yakin ianya adalah yang terbaik buat kita. Buktikan kepada orang lain bahawa itu adalah pilihan terbaik kamu. Teguhkannya dengan kesungguhan kamu untuk lihat ianya kekal sebagai pilihan terbaik kamu.

Kamu buktikan kepada semua orang yang memandang kamu sebelah mata selama ini, bahawa walaupun tiada keredhaan dari mereka, pilihan kamu adalah pilihan yang diredhai Tuhan. Itu paling penting. Kamu percaya bahawa segala ketentuan dalam hidup, hanya Tuhan yang berhak keatasnya.

Aku di belakang kamu untuk perkara ini. Doakan juga semoga mereka faham laluan hidup ini bagaimana dan dapat memberi sedikit ruang di dalam hati mereka untuk meyakininya.

Hidup ini indah. Jangan kita rosakkannya.

8 comments:

aku_ayu said...

post yg menarik idan. terima kasih!
sungguh..baik atau buruk pilihan kita, itulah jln yg kita pilih. selebihnya kuasa Allah kerana Dia lebih mengetahui akan sesuatu.
jika perkara baik yg berlaku, yakinlah bahawa itu pemberian terbaik Allah utk kita.
dan jika perkara buruk yg datang, yakinlah bahawa baik atau buruk sesuatu itu adalah ujian Allah buat kita hambanya..

Anonymous said...

Apa yang diperkatakan memang benar semuanya...

Setiap sebab dan halangan perlu diperhalusi alasannya. Mesti ada munasabahnya...

Bila sudah menjadi ibu bapa barulah kita tahu betapa berat bahu memikul.Betapa tergurisnya hati melihat perilaku anak yang dibesarkan...

Manusia diberi pilihan untuk memilih jalan yang lurus atau jalan yang bersiur.

Anonymous said...

Kadangkala ibubapa perlu tahu dan berfikir jg kenapa anak nya berbuat perilaku buruk.why???? sampai bila mereka mahu hati mereka terguris oleh sifat anak-anak mereka tanpa alasan-alasan yang mereka sendiri tidak hendak ketahuinya.

Anonymous said...

Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari diri sendiri...

Adakah pilihan yang buat itu betul? atau adakah apa yang dihalang itu benar?

Who care????!!! so what!!!

Saya said...

Encik Sharidan...

Rasanya yang paling tepat, berkahwin dulu dan menjadi ibu bapa baru tahu kot rasanya nak hadapi masalah ini...

Ahmad Sharidan said...

Banyak jawapan ini sudah dijangka bunyinya; jadi keluarga dulu baru tahu. Berada di tempat itu baru tahu. Biar ada pengalaman dulu baru tahu.

Cliche manusia yang memberi jawapan kepada persoalan yang mereka sendiri sukar hendak mengerti.

Aku cuma minta dibuka sikit fikiran atau berfikir lebih sikit saja. Apa yang kamu nampak. Dalam diri kita sebenarnya banyak jawapan, cuma kita tentukan jawapan mana yang kita pilih untuk diberitahu kepada orang lain (lihat, sentiasa ada pilihan, bukan?)

kOpiEhiTam said...

erm... berkahwin dulu. lepas dapat anak baru boleh cakap!gitu la orang2 yang dah berkawin dan ada anak suka bercakap. macam la bila dah kawin dan ada anak, ilmu parenting semua datang bergolek2. macam la kepandaian mendidik dan menentukan nasib anak terus jer masuk kat kepala otak tu. nth apa2 jer...

Ahmad Sharidan said...

Senang hati bila melihat ada orang memahami apa dimaksudkan di sini.

Saya cuma minta kita berfikir lebih sedikit saja.

Post a Comment