22.3.10

Tiada Dalam Perancangan

Ada 10 hari lagi untuk 12 post. Sempatkah?

Seperti biasa, aku akan amat jarang menulis di hujung minggu. Aku mahu biarkan hujung minggu menjadi santai tanpa perlu aku fikir apa yang perlu dilakukan untuk orang lain. Ya, seperti mementingkan diri sendiri. Tapi biarkan begitu. Sebab itu aku berasa sedikit janggal apabila ada yang bertanya apa yang akan aku lakukan pada setiap detik di hujung minggu.

Aku tidak tahu. Aku tidak menetapkan apa pun. Kalau aku memandu ke arah Putrajaya jam 12 tengahari siang tadi dengan andaian aku akan ke Putrajaya, akhirnya aku berada di Bangi sepanjang siang berjalan tanpa arah dan mengikut arus lalu lintas di atas jalanraya. Begitu aku. Tidak mahu biarkan diri aku dipengaruhi perancangan.  Jadi bila kamu tanya dan aku berikan jawapan, jangan fikir itu adalah muktamad. Aku berikan jawapan itu kerana aku tidak mahu kamu tertanya-tanya lagi.

Petang aku berada di Putrajaya. Orang dan kenderaan sangat ramai dan banyak. Aku berbasikal. Namun cuaca mendung menanti hujan. Tiba saja di pejabat, hujan sudah merintik turun. Aku balik dengan niat untuk terus ke rumah, mandi dan bersiap, keluar semula mencari hadiah untuk anak seorang rakan. Tiba di persimpangan rumah, aku belok masuk ke pasaraya. Aku belikan hadiah dan barang.

Aku mahu makan Teppanyaki tetapi restoran tersebut padat dengan pengunjung. Aku fikir, lebih baik aku makan di restoran makanan Thai berhampiran rumah saja. Keluar dari pasaraya, di persimpangan menuju ke rumah, aku belok ke kanan menuju ke McDonald's. Makan malam aku di situ, bersama National Geographic bulan Mac 2010 yang baru dibeli. Eija Abdlah pula sedang berjamu selera dengan keluarganya, menyambut hari lahir anak saudara di McD. Sempat mereka hulurkan kek. Terima kasih.

Dia bertanya mahu temankan aku makan. Aku beritahu yang aku akan balik sebentar lagi dan sudah pun selesai makan. Aku bangun dan keluar, berhenti di depan skrin TV LCD yang sedang menyiarkan perlawanan bolasepak antara Manure vs Liverpool. Aku duduk menonton perlawanan tersebut. Keluarga Eija yang balik dulu daripada aku.

Kamu perlu sedar. Dalam hidup aku jarang ada istilah merancang. Aku boleh berubah keputusan dengan sekelip mata. Terutama di hujung minggu. Jadi, aku memang sedikit janggal apabila orang bertanya apa yang aku lakukan pada hujung minggu.

Aku tidak tahu. Aku tidak pernah merancang hujung minggu aku.

2 comments:

jiwafaham said...

Samalah kita, tiada perancangan.

Tiada perancangan ini sebenarnya memberi 2 hasil: (a)hasil yang lebih baik berbanding hasil dirancang, dan (b) hasil yang lebih rendah berbanding hasil dirancang.

Mengapa ini terjadi?
(a) terjadi bila kita sebagai peneraju memang sangat CHAMPION. Kalau kertas kerja dirancang berada di skala 4, kita pula berada di skala 10. Memang kita sangat hebat dan kita adalah JENAMA yang jadi buruan khalayak!

(b) terjadi bila kita terletak di skala sebaliknya.

Tabiat tidak suka merancang biasanya dimonopoli oleh golongan yang berada dalam ZON SELESA.

dasarhati said...

Positif - fleksibel dan boleh dibawa menjelajah advencer spontan, minda lebih terbuka kepada pelbagai kemungkinan yang adakalanya merentas masa dan rasionaliti orang biasa. Boleh jadi hasilnya luar biasa.

Negatif - tak boleh diharap dalam keadaan yang perlukan kestabilan, struktur dan kepastian. Boleh jadi hasilnya luar biasa juga; kehangatan hati dan kepanasan pergaduhan yang luar biasa.

Pilih mana yang disukai :)

Post a Comment