Okay, ini post last mengenai Langkawi. Ianya lebih mengenai masa depan pulau ini.
Pertama, aku fikir sudah tiba masa Langkawi bergerak ke arah mewujudkan persekitaran bebas dari pencemaran. Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah memberi galakan kepada penggunaan kenderaan hibrid atau yang menggunakan tenaga alternatif bebas pencemaran lain seperti elektrik, hidrogen dan udara termampat. Kalau kerajaan boleh hapuskan duti ke atas kereta di Langkawi, aku sarankan kerajaan juga beri galakan sepenuhnya untuk menjadikan Langkawi sebagai pulau terulung di dunia yang menggunakan kenderaan bebas pencemaran tenaga fosil. Aku lihat ini peluang besar kerajaan untuk mempromosi Langkawi sebagai pulau eko-pelancongan terulung sesuai dengan taraf warisan dunia (Langkawi Geopark) yang dimilikinya.
Kalau sebelum ini penduduk di Langkawi berebut membeli Toyota Vios atau Honda City, mungkin masa akan datang mereka berebut membeli Toyota Prius atau Honda Clarity. Pengangkutan awam juga boleh mengambil langkah yang sama dengan memperkenalkan bas yang menggunakan NGV atau hidrogen sepenuhnya.
Satu situasi yang sering aku perhatikan di sekeliling Langkawi adalah pelancong barat yang kelihatan lebih suka berjalan ke sana ke mari. Malah ada waktunya kamu lihat pelancong barat berjalan di jalan sunyi dari Pantai Kok ke kereta kabel (aku fikir ianya satu perjalanan yang jauh!). Mungkin mereka selesa begitu.
Kerajaan perlu mengambil inisiatif dengan membina laluan pejalan kaki di sekitar Langkawi. Mereka mungkin boleh membuat kaji selidik mengenai keperluan laluan pejalan kaki di sekitar Langkawi. Kemudian bina laluan pejalan kaki dengan menggunakan batu kerikil atau pasir kasar. Jangan guna blok bata kerana ianya licin apabila hujan dan akan berlumut yang menyebabkan ianya bertambah licin dan ini boleh membahayakan pengguna.
Juga, kerajaan boleh bina bumbung natural yang dilitupi tumbuhan menjalan untuk melindungi pejalan kaki dari terik matahari. Tidak perlu bina bumbung daripada plastik kerana ianya tidak mesra alam dan membazir.
Mungkin perkara yang paling menguntungkan Langkawi adalah kerana banyak kawasan di sana agak sukar hendak ditembusi atau dilalui dengan mudah kerana keadaan muka buminya yang menghalang. Aku lihat cara yang menarik untuk menggalakkan pelancong meneroka kawasan hijau ini adalah dengan membina elevated walkway ala Taman Negara.
Ada juga kawasan di tepi jalan bersebelahan dengan laut sesuai dicantas atau dibuang pokok untuk membiarkan permandangan menarik tepi laut dapat di lihat dari kenderaan. Aku rasa tidak salah untuk mencatas beberapa kawasan tumbuhan demi membenarkan orang melihat suasana lautan terus dari jalanraya. Pastinya itu lebih menarik.
Aku pasti, monyet yang banyak di Langkawi adalah satu daripada tarikan pelancong. Tetapi kalau ianya tidak dikawal dan menjadi agak berani dan ganas terhadap manusia, kita perlu cari cara untuk mengawalnya. Betul, kita mengganggu habitatnya. Tetapi kita punyai kebijaksanaan untuk mengatasi masalah tersebut.
Aku pasti lelaki Arab dan anak beranak yang dikejar sepanjang masa oleh monyet berhampiran Tasik Dayang Bunting tidak akan beritahu pengalaman indah mengenai kejadian dikejar monyet. Sebaliknya mereka akan beritahu perkara yang buruk mengenainya.
Perlu ada penerangan jelas mengenai populasi monyet dan sediakan do's and don'ts kepada pelancong apabila menghadapi monyet. Begitu juga mengenai penjagaan alam sekitar. Aku sudah lupa pulau apa yang aku pergi untuk mandi, tetapi aku dapati manusia dengan sewenang-wenangnya membawa makanan dalam bentuk plastik, polisterin dan tin ke pulau tersebut dan meninggalkannya. Pelancong perlu diberitahu dan kalau boleh dilarang daripada membawa barang sebegitu ke pulau-pulau yang cantik di Langkawi. Kamu boleh lihat kekotorannya di laut sekitar Langkawi.
Aku juga sarankan agar pembangunan di Langkawi dihadkan supaya tidak berlaku pembangunan berlebihan seperti apa yang telah berlaku di Pulau Pinang. Kita tidak mahu suatu hari nanti apabila kita kembali ke sana, apa yang tinggal adalah pencakar langit dan binaan buatan manusia yang menyakitkan mata untuk dipandang. Perlu ada larangan terhadap pembangunan di kawasan yang berpotensi sebagai kawasan pelancongan seperti sawah padi dan hutan simpan.
Aku juga sarankan agar pembangunan di Langkawi dihadkan supaya tidak berlaku pembangunan berlebihan seperti apa yang telah berlaku di Pulau Pinang. Kita tidak mahu suatu hari nanti apabila kita kembali ke sana, apa yang tinggal adalah pencakar langit dan binaan buatan manusia yang menyakitkan mata untuk dipandang. Perlu ada larangan terhadap pembangunan di kawasan yang berpotensi sebagai kawasan pelancongan seperti sawah padi dan hutan simpan.
Itu saja rasanya.
No comments:
Post a Comment