11.10.09

Pantai Kelanang

Sabtu lepas, setelah selesai berkunjung ke open house, aku merayau-rayau dengan kereta ke sekitar Banting, Selangor. Hajat di hati ingin ke Jugra dan naik ke atas bukit untuk merakamkan pemandangan. Sampai, tetapi aku mengambil keputusan untuk kembali semula kemudian hari.

Ini kerana sebelum itu aku puas berfotografi di Pantai Kelanang. Aku tidak merancang untuk ke pantai ini. Cuma aku teringat dahulu aku pernah melihat papan tanda menuju ke pantai di sebuah persimpangan jalan. Lalu Sabtu lepas aku pergi melihat apa yang menarik di pantai Kelanang.


Pertama, bau. Bau yang agak kurang menyenangkan. Sebab itu mungkin, ada sebuah papan tanda di tepi pantai yang melarang orang ramai mandi di pantai ini. Kedua, kapal. Kamu boleh lihat banyak kapal berhampiran pantai ini. Kapal dagang besar seperti berhenti tidak jauh dari pantai. Sebab itu juga mungkin pantai ini kurang enak baunya.


Aku tidak fikir ada pantai yang sesuai untuk mandi-manda di Selangor. Pantainya agak berlumpur dan cetek, serta kotor. Cecah saja kaki di gigi air, kamu sudah terasa gatal.


Kemudian aku terlihat ini. Akar dan batang pokok yang mati di tepi pantai. Sama ada sengaja atau akibat kesan ekologi yang buruk, permandangannya agak sureal. Kamu akan terfikir, betapa teruknya manusia.

Tetapi aku terpandang pula kanak-kanak yang sedang berjalan menuju gigi air yang nun jauh di tengah sana, lebih kurang 150 meter daripada pantai. Well, they don't care. They don't even bother to think about it. Kita yang menyakitkan kepala memikirkan semua masalah dunia.



Aku yang sejak awal cuma merakam gambar di tepi pantai teruja melihat ramai orang yang berada di gigi air jauh di tengah sana. Aku teruja melihat kapal dagang besar berhampiran.


Lalu aku menyenteng kaki seluar jean (silap juga pakai jeans untuk merayau begini) dan terus berjalan ke gigi air. Aku pakai Crocs, jadi tidak ada masalah sangat, fikir aku. Tapi pasir pantai masih lembut menyebabkan perjalanan agak lambat.


Permandangan pantai dari dari laut. Kesan kemusnahan pokok dapat dilihat dengan lebih jelas.


Aku tidak tahu apa yang mereka cari. Aku tidak pergi mendekati mereka. Aku ada subjek lain yang mahu dirakam. Lihat kemudian.


Dasar laut tepi pantai Kelanang yang cetek.


Permandangan di gigi air, 150 meter daripada pantai sebenar. Aku fikir, kalau tsunami tiba-tiba berlaku, jangan harap aku boleh berlari ke pantai dengan selamat.

Dan, gambar seterusnya, subjek yang aku rakam semasa di gigi air. Kebetulan dia berada di situ. Jadi aku merakam dari jauh aksinya. Aku tidak tahu sama ada beliau orang Malaysia atau Indonesia kerana pelatnya seperti Indonesia.




Mungkin beliau juga sengaja membiarkan aku merakam aksinya. Heh. Aku sedari air semakin mengalir memenuhi kawasan kering sebelum ini. Air sedang pasang. Aku meninggalkan gigi air dan kembali ke pantai.



Lama aku berada di pantai Kelanang. Ianya bukanlah sebuah pantai yang cantik, apatah lagi selesa. Tetapi menarik. Ada sudut yang menarik untuk dirakam dengan lensa kamera. Aku sedari aku perlukan sebuah polariser untuk lensa kamera aku bagi merakamkan air dengan lebih jelas.

Semasa perjalanan balik, aku berhenti untuk merakamkan kuil Hindu tidak jauh dari pantai dan di tengah-tengah kawasan kampung orang Melayu.



Aku terfikir. Kalau orang kampung yang kononnya kolot dan terkebelakang boleh menerima dengan ikhlas kehadiran kuil Hindu ini, kenapa orang di kota besar seperti dirasuk syaitan tidak boleh menerimanya?

Agaknya mungkin kerana mereka terpenjara di ruang sempit dalam rumah mereka sepanjang masa dan disumbat dengan dakyah sempit juga. Kamu perlu pergi ke tepi pantai sekali sekala supaya otak kamu boleh berfungsi dengan lebih baik, okay.

2 comments:

ilah said...

cantik gilerr gambar2 ni tok bidan..

Ahmad Sharidan said...

Ya, lain kali pegi jalan-jalan. Bukan duduk di rumah main games je.

Post a Comment