Lama sungguh aku berada di Langkawi kali ini. Hampir seminggu. Kalau tidak kerana kerja, aku rasa menjelang hari ke empat, aku sudah pasti bosan, tidak tahu hendak ke mana lagi. Ini short note yang aku boleh ingat sepanjang berada di sana dan kembali ke Putrajaya;
- Tandas - baru aku sedar agak sukar hendak mencari tandas awam di Langkawi. Cuma anehnya di suatu kawasan kampung, ada papan tanda besar menunjuk arah ke tandas awam. Tetapi di Kuah atau di Cenang, tidak senang untuk kamu jumpa tandas awam. Pelik juga. Mungkin kerana orang kita tidak pandai jaga tandas awam.
- Kereta Sewa - Kalau kamu sebelum ini pernah ke Langkawi dan senang untuk menyewa kereta pada harga yang murah, kali ini tidak lagi. Operasi JPJ dijalankan secara besar-besaran untuk membenteras kegiatan kereta sewa haram. Akibatnya kamu terpaksa bayar harga lebih mahal untuk menyewa kereta. Kalau kamu berani juga hendak menyewa kereta secara haram, bersedia untuk berdepan dengan road-block. Banyak ada di Langkawi. Oh, jangan lupa pakai tali pinggang keledar.
- Monyet - Mereka ada di mana-mana di Langkawi. Masalahnya, tiada siapa beritahu kamu betapa beraninya monyet ini. Kalau kamu rajin bawa beg plastik (tidak kira apa isinya), bersedialah untuk diragut oleh monyet! Tetapi ada waktunya situasi sebegitu (plastik diragut monyet) boleh menjadi bahan ketawa apatah lagi kalau ianya melibatkan Pak Arab gemuk, anak perempuan yang menjerit seperti penyanyi opera dan anak lelaki yang rabak seluar akibat dikejar monyet.
- Coklat - Oh, ada banyak jenis coklat di Langkawi. Tetapi ada juga manusia yang memesan Beryl's (buatan Seri Kembangan) dan Geisha (yang hanya ada di KLIA). Kemudian coklat standard yang dibeli adalah Hershey's, Nougat dan Daim. Hello, banyak coklat lain. Kalau tiap-tiap kali beli coklat yang sama bila pergi di Langkawi, bosanlah.
- Perfume - Sebenarnya aku kurang berminat dengan perfume. Sebotol perfume Adidas yang aku beli hampir dua tahun lalu masih belum habis. Tetapi apabila ditarik masuk ke kedai perfume di Kuah oleh kawan-kawan dan mendengar diskaun yang diberi, aku akhirnya membeli sebotol Burberry Summer. Ahhh... Dreamy sungguh aromanya.
- Laksa - Hampir seminggu di sana, aku makan lebih kurang 6 pinggan laksa Kedah atau di Langkawi orang lebih suka panggil Laksa Penarak (area tu nama Penarak - sebelah jeti). Bukti aku suka laksa.
- Gajus - Eh, aku lupa beli gajus! Isk...
- T-Shirt Langkawi - Err, aku bukan skema beli baju lokasi percutian.
- Lensa kamera - Damn! Lensa kamera aku rosak!
- Awek MAS - Semasa aku keluar dari kapal terbang dan masuk ke KLIA, seorang petugas MAS sedang menunggu di hadapan pintu, mungkin untuk menunjuk arah jalan kepada penumpang. Comel sungguh! Pakai tudung dengan senyuman yang menarik. Sekali aku tengok, kemudian aku patah balik dan tengok sekali lagi. Dia senyum sekali lagi. Hahaha. Puas hati. Takpe, biar aku perasan sorang-sorang.
3 comments:
Oh ye, memang kalau ke Tasik Dayang Bunting ada banyak peragut plastic bag. Kesian juga sebab monyet-monyet ni nak makan.. rasanya kat pulau tu pun takde pokok buah-buahan kot. Pernah nampak monyet tengah menonggang botol Sprite. Tak sampai hati melihatnya.
Rasanya kalau pihak berwajib tanam banyak pokok buah kat situ mungkin monyet-monyet ni kurang nak meragut beg pengunjung.
Rasanya monyet semua sudah terbiasa disuap makanan. Jadi bila mereka nampak saja plastik, secara automatik mereka kejar. Kalau sudah banyak, maka berebutlah.
Monyet 21 century, makan nak dalam plastik, tak nak panjat pokok lagi dah :D
Post a Comment