Kira beruntung juga sebab pergi dan balik atas tugas, jadi tiket free. Cuma hari Sabtu aku perlu cari bilik sendiri. Aku mahu sewa motosikal atau kereta. Pastinya nanti aku akan rakam sebanyak mungkin potret Langkawi. InsyaAllah.
Aku ingat lagi pertama kali aku ke Langkawi pada tahun 2003. Dengan sebuah kamera digital Kodak 430, sebuah sketchpad kecil dan beberapa batang pen, aku mencoretkan perjalanan aku di sana. Entah ke mana hilang sketchpad tersebut. Manakala gambar masih ada. Tetapi kerana ianya cuma kamera digital biasa yang begitu cepat menelan tenaga bateri, tidak banyak gambar yang aku rakam. Aku menyewa sebuah Proton Wira dengan harga RM120 untuk dua hari. Aku juga menyewa sebuah chalet kecil berharga RM30 semalam. Hampir seluruh pelusuk pulau aku teroka.
Kali ini aku cuma ada Sabtu dan Ahad, mungkin Isnin. Perjalanan mungkin tidak sejauh kali pertama aku pergi dulu. Tetapi pastikan rakaman fotografi akan lebih menarik. Cuma agak ralat, aku keseorangan, rasanyalah. Setakat ini hanya aku yang merancang untuk terus tinggal di sana sehingga hujung minggu. Rakan lain tidak membuat apa-apa keputusan lagi. Maklumlah, gaji hanya akan kami perolehi di penghujung bulan hadapan kerana gaji bulan ini sudah pun diterima awal bulan tempohari. Jadi ada kekangan bajet. Cuma aku lebih mahu berfotografi daripada membeli belah.
Sebenarnya aku pelik. Apa motif mengadakan pertandingan KMK dan Inovasi di Langkawi? Kemudian jadualnya pula begitu menarik. Masa pertandingan bermula dari hari Rabu hingga Jumaat. Waktu bekerja. Hujung minggu langsung tidak disentuh. Aku fikir mereka sengaja merancang sebegitu rupa agar mereka boleh bercuti terus di hujung minggu kelak.
Aku bukan tidak suka kerana aku menumpang gembira pergi nanti. Cuma aku fikir ada cara yang lebih bagus daripada mempergunakan situasi sebegini.
Banyak songeh pula ya. Pergi sajalah, Idan!
No comments:
Post a Comment