Ya, angkatan tentera perlu setia kepada kerajaan dan pemerintah, tetapi bukan setia kepada parti politik yang memerintah. Jangan jadi terlalu bebal untuk tidak memahami perbezaannya.
Sebenarnya, aku berharap Polis dan mana-mana anggota keselamatan juga bersifat sedemikian. Bebas daripada pengaruh politik dan bertindak sebagai tunjang keselamatan negara dan penduduk di dalamnya. Saat politik cuba dan berjaya menguasai cabang keselamatan dalam negara ini, maka saat itu kita sudah tiada kebebasan dalam erti kata sebenar demokrasi.
Polis, tentera dan semua cabang keselamatan negara tidak boleh dijadikan alat atau aset mana-mana parti politik. Kalau ianya berlaku, suasananya tidak banyak berbeza dengan rejim yang pernah dan sedang wujud di dunia ini. Mereka sepatutnya berada di luar politik dan hanya berpaksikan rakyat di dalam sesebuah negara.
Menggunakan pengaruh politik untuk menguasai cabang keselamatan negara tidak ubah seperti membunuh demokrasi. Tulisan ini berbaur pembangkang? Tidak. Jauh sekali. Kalau kita memegang idealisme demokrasi, kita sepatutnya faham.
Kita sepatutnya sedar demokrasi berasal daripada perkataan Greek, demos - rakyat dan kratos - kuasa; kuasa rakyat. Ianya bermaksud kita, sesiapa saja rakyat dalam sesebuah negara adalah berkuasa dalam negara ini, dalam menentukan hala tuju negara ini. Bukan terletak kepada mana-mana parti politik, apatah lagi mana-mana individu dalam politik. Mereka, individu dalam parti politik adalah wakil kepada suara kamu untuk didengari. Manakala parti politik adalah saluran kamu untuk melaungkan suara kamu. Apabila seseorang itu dilantik menjadi suara sesuatu komuniti, maka beliau harus bertindak sebagai suara keseluruhan komuniti itu, bukan mewakili pihak yang memilih beliau sahaja.
Sebab itu juga aku tidak suka gaya politik yang ada sekarang. Cara kita menentukan arah tuju negara ini adalah bergantung sepenuhnya kepada parti politik yang diberi kuasa untuk memerintah. Maka cuma suara wakil dan penyokong parti politik tersebut sahaja yang didengari, manakala suara orang yang tidak menyokong parti politik itu dipanggil pembangkang; lalu tidak perlu dipedulikan.
Buka mata, buka minda dan buka hati. Fikir dengan lebih jelas.
1 comment:
Politik makin teruk sebab ia dah jadi cabang karier.. bila karier ni maknanya periuk nasi la. semua nak jaga periuk nasi..mempertahankan dari dirampas/ditabur pasir. Besar periuk maka besarlah juga keraknya..
Yang penting kena pasti menang sebab nak pastikan banyak mulut dapat makan nasi berpinggan-pinggan nanti.
:)
Post a Comment