22.1.10

Menjadi Biasa

Sejak kebelakangan ini aku lihat durian kembali ada di mana-mana. Musim durian sudah tiba kembali? Setahun ada berapa kali musim durian?

Dulu, seingat aku cuma ada sekali musim durian dalam setahun. Ketika itu arwah nenek akan menyewa sepohon pokok durian dan semua buah durian yang jatuh dari pokok tersebut menjadi milik kami. Kebetulan pula pohon tersebut berada di belakang rumah aku di Kuala Kangsar. Kalau terdengar saja bunyi buah jatuh, bergegas aku berlari mencari buah durian yang baru jatuh. Aku tidak peduli buah lain di atas pokok.

Isi durian kampung ketika itu cuma ada satu jenis rasa. Tidak seperti sekarang. Ketika di Agrotek Hulu Langat tidak lama dulu, aku dihidangkan dengan pelbagai jenis durian dengan pelbagai jenis rasa. Tetapi aku masih tetap ingat bagaimana rasa durian kampung di Kuala Kangsar. Kata orang dulu, durian Kuala Kangsar paling sedap. Durian tembaga, kata mereka lagi. Orang dari jauh sanggup datang ke Kuala Kangsar setiap kali musim durian tiba untuk mendapatkan durian yang terbaik.

Aku sedari adanya komersialisasi durian ketika mula belajar di MRSM Balik Pulau. Sepanjang jalan menuju ke maktab, pohon durian di kiri kanan dengan jaring di bentang tinggi merentasi atas jalan untuk menghalang durian jatuh terus ke jalanraya. Belakang maktab pula, penuh pokok durian milik tokey cina dan setiap musim durian tiba, pasti ada buah durian yang jatuh ke dalam kawasan pagar maktab. Itu rezeki kami.

Sekarang, aku sudah tidak dapat bezakan bila musim durian. Aku rasa durian sentiasa ada setiap hari. Kamu lihat saja di Jusco. Ada saja durian yang siap dibungkus isinya untuk dijual.

Dan aku rasa sedikit kecewa. Dulu orang sanggup tunggu tiba musim durian untuk menikmatinya. Ianya menjadi begitu istimewa. Harganya mahal, sesuai dengan tarafnya sebagai "Raja Buah" di Malaysia. Sekarang, tiada apa-apa yang istimewa tentang buah durian. Setiap hari kamu boleh menikmatinya, kalau kamu terasa ada apa-apa nikmat lagi.

Begitu juga bahulu, ketupat, lemang, kuih raya lain, dan banyak lagi makanan yang suatu ketika dulu kita boleh perolehi di waktu-waktu tertentu saja. Namun akibat usaha komersial, ianya menjadi suatu yang biasa saja. Kamu tidak terasa teruja untuk menikmatinya, apatah lagi untuk berfikir mengenainya.

Mungkin aku sudah tua. Pemikiran juga agak tradisional mengenai perkara sebegini. Aku fikir ada benda yang sesuai dikomersialkan. Ada perkara yang patut dibiarkan menjadi tradisi. Kalau tidak, ianya akan hilang seri dan keistimewaannya. Jatuh nilai sebenarnya yang sepatutnya benda itu miliki.

Kita tidak rugi kerana kita boleh nikmatinya bila-bila masa. Cuma, kita tidak akan rasa seronok dan istimewa lagi mengenai. Semua sudah menjadi biasa. Kita lihat dan berkata,

"Next..."

2 comments:

NM. Amalina said...

"Aku fikir ada benda yang sesuai dikomersialkan. Ada perkara yang patut dibiarkan menjadi tradisi. Kalau tidak, ianya akan hilang seri dan keistimewaannya. Jatuh nilai sebenarnya yang sepatutnya benda itu miliki."


wah, very deep.
thanx 4 sharin.
:)

Cik D said...

kisah durian ini mengingatkan ku pada suatu ketika dulu aku dan tok wan lepas sekolah pergi mengutip durian di dusun. Kalau lah masa boleh diundurkan kembali...

Post a Comment