7.1.10

Perjuangan Demi Apa?

Aku melihat dengan penuh tertarik usaha sesetengah pihak untuk berkempen "Menentang Penggunaan Nama Allah Oleh Golongan Bukan Islam" di dalam Facebook. Menariknya kerana mereka menggunakan Facebook, media yang kalau difikirkan balik, bukan milik orang Islam pun. Lebih menarik, setakat hari ini, ianya mempunyai lebih 110 ribu ahli. 110 ribu yang pastinya orang Islam dan lebih spesifik, majoritinya adalah berbangsa Melayu. Ramai.

Biar aku jelaskan di sini, aku tidak akan sertai mereka. Itu amat pasti. Kalau kamu perhatikan dengan teliti, moderator dan pemilik kumpulan ini adalah penyokong, malah orang penting dalam sebuah parti politik di Malaysia. Walaupun niat asas kumpulan ini adalah untuk memperjuangkan hak orang Islam, tetapi kalau kamu rajin baca satu per satu baris ayat yang tertulis di situ, jelas ianya ada motif politik, atau sekurang-kurangnya cuba mempengaruhi pandangan politik orang lain, terutamanya golongan atas pagar. Kalau mereka betul-betul ikhlas hendak memperjuangkan Islam, sepatutnya mereka buang jauh-jauh pegangan politik mereka dan hanya bertindak sebagai pejuang Islam sejati di situ.

Tetapi itu masih aku terima kerana pengaruh politik di Malaysia seperti yang kita tahu, amat-amat penting dalam menggerakkan sesuatu perkara.

Cuma yang agak membimbangkan adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh sesetengah ahli kumpulan ini yang agak ekstrem; ada yang mengajak agar dilaksanakan jihad dengan mengangkat senjata (berperang), ada yang melaungkan mahu bom/bakar gereja dan ada yang mahu berkeras dengan golongan bukan Islam. Aku tahu, mereka ini adalah serpihan kecil dalam kumpulan besar yang sukakan keamanan dan kesejahteraan. Mereka adalah provokator dangkal yang hanya bijak melihat dari satu sudut pandangan saja. Tetapi baris-baris kata mereka ini disalin dan ditampal di laman web lain oleh orang bukan Islam sebagai bukti "tindakan ganas orang Islam" yang bakal orang bukan Islam hadapi nanti.

Secara ringkas, ada yang sudah menuduh kumpulan ini sebagai Taliban dan golongan ekstrem Islam. Mungkin ada antara kita yang tidak peduli atau suka apabila dilabelkan sebagai Taliban/Mujahideen kerana secara automatik di dalam fikiran kita, kita telah dianggap oleh orang lain sebagai pejuang jihad. Tetapi kita harus ingat, Taliban dan golongan ekstrem Islam tidak pernah mendapat tempat positif dalam masyarat dunia. Apabila kita dilabelkan sebegitu, banyak implikasi negatif yang timbul. Sementara kita berbangga dengan perjuangan kita, kita perlu sedar, kini kita dilihat 'volatile' dan dianggap pengganas hanya kerana segelintir daripada kita mengeluarkan kenyataan yang 'bebal' sebegitu.

Aku tetap hormat dengan pendirian lebih 110 ribu ahli kumpulan ini. Itu hak mereka. Tetapi gunakan platform ini untuk berjuang dengan lebih bijak dan lebih efisien. Sedang penganut agama lain pandai memanipulasi keadaan untuk dilihat 'baik' dan bersifat toleran, janganlah kita sebagai umat Islam menonjolkan diri kita sebagai ganas dan ekstrem. Ianya tidak akan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Sebaliknya ianya akan menjadi alasan untuk 4/5 manusia di seluruh dunia menjadikan umat Islam sebagai musuh.

Berfikir sebelum bertindak. Bertindak dengan bijak. Jangan jadikan agama mainan politik (tidak kira apa saja pegangan politik kamu). Atau sekurang-kurangnya, tambahlah sikit ilmu pengetahuan. Jadi manusia yang tahu, jangan jadi manusia yang pura-pura tahu.

1 comment:

Amalina said...

yea,

sy setuju. Ngara Islam spatutnya mmpunyi pemikir jauh lebih bijak ats sesuatu tindakan.

Post a Comment