Pertamanya, ingin aku ucapkan tahniah dan selamat mendirikan rumah tangga kepada Azni Husairi, sahabat baik yang sentiasa tersenyum dalam apa jua keadaan. Semoga berkekalan selamanya. Aku juga memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis perkahwinannya tempohari atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Azni adalah seorang wartawan di sebuah syarikat penerbitan yang tersohor. Kenal dengannya secara kebetulan di ruang internet ini, akhirnya menjadi sahabat baik yang tidak akan aku lupa.
Ya, aku tidak suka melupakan sesuatu. Kalau boleh, aku ingin sentiasa boleh mengingati semua perkara dalam semua keadaan. Semalam, terdetik dalam benak otak, kenapa saat aku masih bayi suatu ketika dulu tidak dapat aku ingat apa yang berlaku? Aku mahu ingat dan aku mahu kenang. Aku mahu jadi seperti Qayyim Adli, anak Asyikin yang ketawa apabila diusik oleh ayahnya. Aku mahu ingat saat-saat itu.
Aku juga kalau boleh, tidak mahu membuang segala kenangan yang lalu, biar pahit atau manis ianya. Kenangan adalah untuk aku simpan dan hargainya. Ramai orang apabila kecewa, perkara pertama yang mereka mahukan adalah untuk melupakan kekecewaan mereka. Orang pula apabila menasihati orang lain yang sedang kecewa, perkara kedua (selepas disuruh bersabar) yang dipujuk adalah supaya mereka melupakan apa yang telah berlaku.
Aku tidak mahu lupakan kenangan lalu. Sama aku tidak mahu lupakan keindahan cahaya senja yang sempat aku rakam dari pelana basikal setiap petang di tepi tasik Putrajaya ini. Ianya indah dan hanya datang sekali, dalam bentuk tersebut. Biar buruk sekalipun apa yang telah berlaku, aku tetap mahu kenang dan ingat sebagai pengajaran buat aku.
Seorang sahabat bertanya kepada aku tadi, kenapa dia perlu kenal dengan seorang manusia yang jelas begitu menyukarkan hidupnya di pejabat. Jawab aku; supaya dia boleh belajar sesuatu daripada manusia itu.
Tidak ada apa yang lebih baik dalam hidup kita selain sentiasa berusaha untuk berfikiran positif. Aku menulis kritikan mengenai orang Islam yang gemar percaya kepada anagram pelik yang disangka kutukan terhadap Islam. Aku bukan mengkritik Islam. Aku mengkritik individu yang berpegang kepada Islam yang sering mencari negativiti sesuatu perkara untuk dijadikan alat menunjukkan 'perpaduan' Islam. Kita tidak perlu itu. Apa yang kita perlu adalah orang Islam yang positif, yang dapat mencari positif dalam kesukaran hidup lalu diangkat menjadi inspirasi untuk menjadi Muslim yang lebih signifikan.
Aku sudah melalut.
Dua perkara yang aku sentiasa mahu buat; Sentiasa mahu ingat dan sentiasa mahu berfikiran positif. Kerana aku percaya, dengan berbuat begitu, hidup ini akan lebih bermakna dan lebih tenang di dalam dunia yang penuh cabaran ini.
Bisik kepada diri sendiri; "Terima kasih"
3 comments:
cantik sunset tu.
selamat bulan jun, idan.
:)
:)
This comment has been removed by the author.
Post a Comment